Skip to main
Logo Malaysiakini

Perhilitan sahkan terima aduan kelibat pak belang di Maran

Artikel ini sudah 7 bulan diterbitkan

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang mengesahkan menerima laporan kehadiran seekor harimau belang di Kampung Serengkam, Maran, Pahang semalam.

Pengarahnya, Rozidan Md Yasin berkata aduan diterima daripada sekumpulan nelayan darat yang mendakwa melihat haiwan itu sedang minum air di tebing Sungai Pahang berhampiran Batu Sawau di kampung berkenaan.

"Pemeriksaan mendapati kesan tapak di lokasi kejadian adalah sama saiz dengan kesan tapak yang ditemukan di Kampung Belembung, Senggora di Maran, yang mana jarak antara dua lokasi berkenaan adalah kira-kira lima kilometer dari Batu Sawau.

"Bagaimanapun, pemantauan terkini mendapati haiwan itu dipercayai telah bergerak ke habitat asalnya iaitu hutan simpan berdekatan," katanya menerusi kenyataan di Kuantan hari ini.

Gambar hiasan.

Rozidan menasihatkan ketua kampung dan komuniti sekitar lokasi kejadian untuk sentiasa menjaga keselamatan dan melaporkan segera kepada Perhilitan Daerah Maran jika melihat kehadiran haiwan berkenaan atau berlaku serangan terhadap ternakan dan manusia.

Ditanya mengenai video tular di media sosial yang menunjukkan kehadiran harimau belang di sebuah ladang kelapa sawit, Rozidan berkata video itu tidak berkaitan dengan aduan diterima mereka semalam.

- Bernama