Skip to main
Logo Malaysiakini

Tuduh PH munafik, PAS makin terdesak raih sokongan - AMK

Artikel ini sudah 7 bulan diterbitkan

Pemuda PKR (AMK) menyifatkan Pas semakin terdesak untuk meraih sokongan apabila presidennya Abdul Hadi Awang menggelarkan PH seabgai golongan munafik dan menyamakan gabungan itu dengan Israel.

Timbalan Ketua AMK Muhammad Kamil Abdul Munim berkata serangan baru oleh Abdul Hadi itu hadir selepas apa yang disifatkannya sebagai peningkatan keyakinan rakyat dan negara luar terhadap pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Katanya, serangan itu juga membenarkan tanggapan bahawa PAS adalah "parti ekstrem".

"PAS kini semakin terdesak. Makin ramai ahli parlimen pembangkang menyuarakan dukungan (kepada Anwar) dan kekuatan PN semakin melemah.

"Justeru, menggelar PH sebagai munafik, musuh Islam yang mengamalkan demokrasi ala Israel, ianya membenarkan pandangan bahawa PAS sebuah parti yang berfikrah ekstrem," katanya melalui hantaran di X (dulu dikenali sebagai Twitter).

Kamil merujuk kenyataan Abdul Hadi menerusi ruangan Minda Presiden PAS pada Rabu lalu yang antara lain mendakwa kerajaan, khususnya PH, bersikap munafik dengan mengguna pakai konsep demokrasi yang diamalkan oleh Israel terhadap Hamas di Palestin.

Hadi membandingkan PKR dengan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) yang menurutnya sebuah kumpulan minoriti yang diberi hak menubuhkan kerajaan dan menjadi boneka Israel dan Amerika Syarikat.

Abdul Hadi Awang

Menyanggah dakwaan itu, Kamil mengingatkan bahawa PH - di mana PKR adalah salah satu komponennya - adalah blok yang memenangi kerusi paling banyak dalam PRU15.

"Menyamakan acuan demokrasi PH dengan Israel – apa yang cuba diselewengkan oleh presiden PAS sebenarnya?" soalnya lagi.

Kamil yang juga setiausaha politik menteri kewangan turut menjawab persoalan yang ditimbulkan Abdul Hadi berhubung sekatan peruntukan kepada wakil rakyat PN dan isu royalti petroleum.

Dia berkata peruntukan di negeri yang ditadbir pembangkang meningkat dan PAS sendiri gagal menyelesaikan isu royalti ketika menjadi sebahagian daripada kerajaan sebelum ini.

Berhubung dakwaan Abdul Hadi yang PH bekerjasama dengan 'musuh Islam' untuk mendapat kuasa, Kamil mempersoalkan siapakah yang dimaksudkan ahli parlimen Marang itu.

"Siapakah yang dirujuk sebagai musuh Islam tersebut? Jika dimaksudkan DAP, apakah dia lupa PAS pernah menjalinkan kerjasama dengan parti itu...

"Lupakah beliau tentang seruan lita'arafu (saling kenal mengenali) yang dilaungkan dahulu?"

Kamil menegaskan tindakan menyamakan kerajaan perpaduan dengan golongan munafik pada zaman Rasulullah merupakan satu kenyataan berniat jahat dan menyimpang daripada perkara sebenar.

"Berpolitiklah secara matang dan sejahtera, seperti yang sering dilaungkan," katanya lagi.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na'im Mokhtar turut mengkritik amalan melabel seumpama itu, berkata ia berbahaya dan menyalahi hukum syarak.

"Sesungguhnya perbuatan memberi label sedemikian amat mendukacitakan kerana ia boleh mewujudkan kekeliruan dalam kefahaman masyarakat dan menimbulkan bibit-bibit perpecahan serta permusuhan agama antara sesama umat Islam.

"Seluruh umat Islam dinasihatkan agar menghayati nilai ajaran agama yang melarang dan menegah perbuatan menuduh seseorang Muslim yang lain dengan gelaran kafir, fasik atau munafik tanpa bersandarkan kepada bukti dan hujah yang kukuh," katanya.