Skip to main
Logo Malaysiakini

Kaunter bayar saman trafik jadi tumpuan program setahun Madani

Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

Kaunter pembayaran saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menawarkan diskaun sehingga 50 peratus menjadi tumpuan rata-rata pengunjung ke Program Setahun Bersama Malaysia Madani, di Bukit Jalil.

Berdasarkan tinjauan, selain kaunter pembayaran saman, ruang pameran agensi kerajaan juga turut mendapat perhatian pengunjung.

Pekerja swasta M Sekran berkata, dia mengambil kesempatan hari ini untuk menjelaskan pembayaran saman.

"Saya datang untuk menjelaskan pembayaran saman PDRM pada karnival ini.

"Kerana saya difahamkan ada diskaun, jadi saya rebutlah peluang ini," katanya ketika ditemui.

Seorang lagi pengunjung, Mohd Arif Darus turut tidak mahu melepaskan peluang untuk membayar saman kesalahan trafik.

"Saya ambil kesempatan hari ini untuk bayar saman kerana ada diskaun kan? Jadi rugi kalau tak manfaatkannya.

"Selain itu boleh juga periksa saman lain, hari ini yang pasti saya nak selesaikan saman perangkap had laju," katanya.

Program Setahun Bersama Kerajaan Madani selama tiga hari di perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil di Kuala Lumpur bermula semalam.

Pelbagai program diadakan termasuk pameran agensi kerajaan serta karnival kerjaya dan diskauan bayaran saman trafik.

Selain itu cabutan bertuah turut disediakan kepada pengunjung yang hadir.

Nor Azmah Ramli dari Perak pula mengambil kesempatan hujung minggu untuk hadir ke program ini bersama keluarga.

"Saya hadir bersama anak untuk melihat apa yang menarik pada program sempena setahun kerajaan Madani ini.

"Anak saya dia mahu selesaikan saman trafik pada program ini melalui kaunter yang dibuka," katanya.

Seorang lagi pengunjung, Afiq Hanif pula mengambil kesempatan program ini bagi melihat peluang kerjaya selain membayar saman trafik.

"Saya datang sini nak bayar saman dan kunjungi karnival kerjaya" katanya.