Skip to main
Logo Malaysiakini

‘PM bukan Melayu’ - Polis akan rakam kenyataan Kit Siang

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Polis telah mengarahkan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang untuk tampil untuk siasatan berhubung kenyataannya yang dikeluarkan di Manchester, United Kingdom pada 29 November lalu, yang menyebut “tiada sekatan dalam Perlembagaan untuk bukan Melayu menjadi perdana menteri”.

Menurut sumber DAP, Lim akan ke balai polis di SS2, Petaling Jaya untuk merakamkan kenyataannya pada pagi Rabu ini.

Namun, sumber berkenaan tidak dapat mengesahkan akta yang akan digunakan bagi menyiasat Lim, tetapi dia dipercaya Lim akan dituduh melakukan provokasi kerana bercakap tentang kemungkinan bukan Melayu menjadi perdana menteri Malaysia.

“Saya telah dituduh sebagai membuat provokasi apabila saya mengatakan yang Perlembagaan Malaysia memperuntukkan yang seorang bukan Melayu boleh menjadi perdana menteri. 

“Tidak ada niat sebegini. 

Perlembagaan Malaysia ini bukanlah satu dokumen yang bersifat provokatif, sebaliknya ia perlu menjadi asas kepada perpaduan Malaysia,” kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Lim berkata bahawa dia semasa ceramahnya kepada pelajar Malaysia di Manchester mengambil maklum bahawa Amerika Syarikat mengambil masa 230 tahun sebelum seorang rakyat berkulit hitam (Barack Obama) diangkat menjadi presiden dan dia berharap bahawa tidak lama lagi seorang bukan Melayu pula menjadi perdana menteri.

Dalam kenyataannya, Lim berkata dia bersetuju bahawa buat masa ini, kenyataan bahawa seorang bukan Melayu boleh menjadi perdana menteri ini adalah satu “kenyataan fakta” dan bukanlah satu “kenyataan realiti”. 

“Saya pernah dituduh sebagai kononnya ingin menjadi perdana menteri Malaysia. Perkara ini langsung tidak pernah terlintas dalam fikiran saya kerana dalam keadaan semasa, perkara ini tidak mungkin akan berlaku. 

Kita perlu berada dalam situasi di mana sejumlah besar rakyat Malaysia, sama ada orang Melayu, Cina, India, Kadazan, atau Dayak, mengimpikan Impian Malaysia dan bukannya impian mono-etnik,” katanya

Mengikut Perlembagaan Persekutuan, satu-satunya syarat untuk seseorang menjadi perdana menteri, seperti dalam Perkara 43(2)(a) ialah dia mesti merupakan  seorang ahli Parlimen, yang mengikut pertimbangan Yang di-Pertuan Agong, mendapat sokongan majoriti.

Tiada kriteria lain yang ditetapkan untuk pelantikan ke jawatan eksekutif tertinggi itu.

[Baca berita penuh]