Skip to main
Logo Malaysiakini

Rangka manusia ditemukan di Sungai Malim

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Rangka manusia dalam keadaan tidak sempurna ditemukan di tebing Sungai Malim di Taman Gadong Perdana di Melaka semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata rangka itu ditemukan orang awam yang sedang memancing di sungai berkenaan dan perkara itu dilaporkan kepada Balai Polis Malim kira-kira 5.10 petang.

"Siasatan telah dijalankan bersama pasukan forensik dan Unit K9 dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka serta Pakar Patologi Jabatan Forensik Hospital Melaka dan rangka berkenaan telah disahkan adalah rangka manusia oleh doktor terlibat.

"Rangka manusia itu ditemukan dalam keadaan tidak sempurna iaitu separuh daripada rangka tersebut tertimbus dengan daun dan tanah," katanya dalam kenyataan di Melaka hari ini.

Beliau berkata rangka itu dipercayai telah diangkat naik dari sungai oleh jengkaut yang sedang membuat kerja-kerja pembesaran Sungai Malim.

Hasil siasatan lanjut di lokasi kejadian juga tidak menjumpai maklumat mengenai identiti mangsa serta sebarang unsur jenayah, katanya.

Christopher berkata rangka manusia terbabit telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

- Bernama