Skip to main
Logo Malaysiakini

Orang Asli Gombak tuntut penjelasan isu tanah diambil untuk projek ECRL

Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

Masyarakat Orang Asli Kampung Batu 12, Gombak menuntut penjelasan kerajaan berhubung isu pengambilan tanah kediaman mereka bagi tujuan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Selain mempersoalkan mengenai pampasan, mereka juga masih tidak jelas mengenai status tanah yang didiami sekarang.

Menurut penduduk, pembinaan projek ECRL di kawasan itu tanpa penjelasan sewajarnya bakal menjejaskan kawasan sekitar, keselamatan penduduk serta tanaman yang diusahakan mereka.

Penduduk kampung, Rahman Bahtuin berkata, dia difahamkan penduduk bagi fasa pertama projek berkenaan diarahkan mengosongkan tanah mereka dan akan dipindahkan ke rumah sewa.

Namun katanya, setakat ini perkara itu masih dalam perbincangan dan tiada dokumen hitam putih diberikan.

"Kami tak ada (diberikan dokumen) hitam putih, sebab itu kami jadi was-was lagi, sebab (ikut) penjanjian, kita dua tahun menyewa.

“Kalau dua tahun (lepas) projek ini habis macam mana?" katanya ketika ditemui Malaysiakini hari ini.

Tegasnya, penduduk bukan menolak pembangunan, tetapi mahukan jaminan serta pampasan yang diberikan setimpal.

Terdahulu, wakil Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) hadir di kampung berkenaan bagi mendengar aduan penduduk serta melihat sendiri kawasan terjejas.

Bagi fasa pertama pembinaan jajaran ECRL di kawasan itu, sebanyak 31 buah keluarga dikatakan telah diarah berpindah.

Manakala bagi fasa kedua membabitkan 17 kediaman masih lagi "kabur" dan belum mendapat sebarang arahan pemindahan.

Seorang lagi penduduk, Wakni Bahdai turut menyuarakan rasa tidak puas hati apabila status rumah didiami bersama keluarganya menjadi tanda tanya.

Jelasnya, mengikut perancangan projek itu bagi fasa satu, rumahnya tidak termasuk dalam senarai kediaman yang akan dirobohkan.

Namun katanya, sudah ada pihak pelaksana projek datang untuk mengukur kawasan tanah.

"Kalau ikut pelan jajaran ECRL, (tapak) rumah akan menjadi tiang bagi pembinaan laluan ECRL, tapi sehingga kini kami tak tahu apa status.

"Soal pampasan, bagi pindah ke mana? Pihak pemaju tak cakap apa pun, dia datang ukur saja, tak ada maklumat lanjut," katanya.

Sementara itu seorang lagi penduduk, Azum Inar berkata pihak pemaju perlu tampil memberi penjelasan selain pelaksanaan projek perlu mengambil kira aspek keselamatan penduduk.

"Kami tak dapat penjelasan dari pihak Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), pembinaan yang telah bermula di kawasan tanah kebun kami telah menjejaskan struktur tanah di kawasan sekitar serta keselamatan kami.

"Terowong anak sungai yang menjadi laluan Orang Asli ke kebun juga terjejas. Tak ada garis keselamatan diletakkan yang boleh mengancam keselamatan penduduk," katanya.