Skip to main
Logo Malaysiakini

Pemecahan kementerian mengecewakan - Pemuda MCA

Artikel ini sudah 7 bulan diterbitkan

Timbalan Ketua Pemuda MCA Chong Yew Chuan meluahkan rasa kecewa dengan tindakan perdana menteri memecahkan dua kementerian, menyebabkan saiz kabinetnya bertambah besar.

“Bagaimanapun, dalam rombakan kali ini, kita turut melihat beberapa kementerian dipecahkan, contohnya Kementerian Komunikasi dan Digital serta Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, dan ini mengecewakan rakyat kerana bercanggah dengan janji perdana menteri ketika mula-mula memegang kuasa bahawa tidak akan ada kabinet yang terlalu besar,” katanya.

Dalam rombakan semalam, Anwar Ibrahim memecahkan Kementerian Komunikasi dan Digital kepada Kementerian Komunikasi yang kekal bawah Fahmi Fadzil dan Kementerian Ditial yang dipimpin muka baru Gobind Singh Deo.

Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dipecahkan kepada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam yang dipimpin menteri lama Nik Nazmi Nik Ahmad dan Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam (Fadillah Yusof).

Anwar bersama timbalannya Zahid Hamidi ketika mengumumkan barisan baru kabinet

Selain itu, jumlah timbalan menteri juga bertambah dari 27 kepada 29 orang.

Jumlah ini lebih besar berbanding pentadbiran sulung Pakatan Harapan (PH) pada 2018 dengan 28 menteri dan 27 timbalan.

Setakat ini, jumlah kabinet paling ramai dicatat ketika era Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob dengan 32 menteri dan 38 timbalan.

Chong dalam kenyataan hari ini bagaimanapun tidak menyatakan jumlah ideal saiz kabinet yang ideal pada pandangannya.

‘Hargai peluang kedua’

Sementara itu, dia juga meminta Awanr membuat penilaian berterusan terhadap prestasi anggota kabinetnya dan tidak teragak-agak menukar mereka bila perlu.

Perkara itu, katanya, bagi memastikan mereka sentiasa berdedikasi dalam usaha mensejahterakan hidup rakyat.

Tanpa menamakan secara khusus, dia berkata menteri yang timbalan menteri yang selamat walaupun prestasi kurang memuaskan kali ini harus mengambil peluang kedua.

“Kalau tidak disertakan dengan peningkatan prestasi dan kecekapan, potongan gaji menteri hanyalah cakap-cakap manis semata-mata dan tidak menepati harapan rakyat yang mahukan sebuah kerajaan yang berkecekapan tinggi,” katanya.