Skip to main
Logo Malaysiakini

J-Kom kembali ke Kementerian Komunikasi

Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

Kerajaan membuat keputusan memindahkan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) ke kementerian Komunikasi.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil membuat pengumuman itu pada sidang media hari ini di Putrajaya selepas menyuarat kabinet.

J-Kom dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri pada 2021 oleh menteri komunikasi ketika itu Saifuddin Abdullah.

Agensi itu, yang dijenamakan semula daripada Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) pada era BN, sering dikaitkan dengan propaganda kerajaan.

J-Kom terpalit dengan kontroversi bulan lalu apabila Mohammad Agus Yusoff meletakkan jawatannya sebagai ketua pengarah agensi itu.

Pengumuman itu dibuat beberapa jam sebelum tular rakaman video yang menunjukkan lelaki mirip dirinya berbual lucah dengan lelaki lain. Rakaman itu kini sedang disiasat polis.

Diminta mengulas mengenai calon yang akan mengantikan Agus, Fahmi berkata dia perlu memuktamadkan beberapa perkara terlebih dahulu.

"Saya masih belum berjumpa dengan J-Kom dan saya perlu memberi mereka masa dan ruang untuk diberi taklimat sebelum saya boleh mengulas lanjut.

"Kami mungkin akan menunggu beberapa hari untuk memuktamadkan perkara tertentu," katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Agensi lain yang kekal di bawah kementerian itu ialah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan MyCreative Ventures.

Kementerian juga akan menyelia Jabatan Penerangan, agensi berita nasional Bernama, dan Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) dan Jabatan Penyiaran, termasuk RTM

Ini selepas Kementerian Komunikasi dan Digital dibahagikan kepada dua, dengan Fahmi mengetuai Kementerian Komunikasi manakala Kementerian Digital diketuai oleh Gobind Singh Deo.

Agensi seperti Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), Pusat Rangkaian Maklumat Malaysia (MYNIC Berhad) dan Jabatan Perlindungan Data Peribadi kini diletakkan di bawah Kementerian Digital.

Mengenai Digital Nasional Bhd (DNB), Fahmi berkata masih terdapat perbincangan dan akan diputuskan kemudian.

"Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini turut membincangkan mengenai agensi yang akan ditempatkan di kementerian berkaitan susulan penstrukturan semula seperti diumumkan Perdana Menteri.

"Bagaimanapun, ia belum diputuskan dan saya tidak boleh menyatakan lebih daripada itu sehingga apa yang disebut sebagai 'Ministerial Function Order' diwartakan yang kita jangka sehingga Januari 2024," katanya.

Tambahnya, agensi-agensi berkenaan tidak akan digabungkan tetapi disatukan di bawah kementerian berkaitan.

Mengulas lanjut, Fahmi menjelaskan mengenai keperluan membahagikan portfolio komunikasi dan digital kepada kementerian yang berasingan.

"Adalah penting untuk menjelaskan bahawa kementerian (komunikasi dan digital) dipecahkan kepada dua kerana berdasarkan pengalaman saya yang saya sampaikan kepada perdana menteri, aspek digital juga melibatkan beberapa kementerian lain.

“Mesti ada beberapa bentuk penyeragaman memandangkan ekonomi digital memainkan peranan penting dalam mengukuhkan ekonomi kita di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu.

"Bagi saya, keputusan untuk membentuk sebuah Kementerian Digital bukan sahaja tepat, tetapi juga kena pada masanya," katanya.