Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis selamatkan dua warga asing disyaki jadi buruh paksa

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Seorang wanita warga Myanmar yang tidak dibayar gaji dan lelaki warga Indonesia yang kehilangan satu jari disyaki dieksploitasi sebagai buruh paksa di sebuah kilang kitar semula barangan terpakai di kawasan Perindustrian Kundang di Rawang, Selangor, diselamatkan polis semalam.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman SAC Soffian Santong berkata polis menemui wanita dan lelaki itu masing-masing berusia 22 dan 28 tahun, dalam serbuan pada 4.10 petang di kilang tersebut yang beroperasi sejak setahun lepas tanpa lesen.

"Semasa serbuan, mangsa wanita ditemui di sebuah bilik di tingkat satu kilang dalam keadaan menangis ketakutan.

"Siasatan awal menggunakan penterjemah rakan senegara mendapati mangsa tidak dibenarkan keluar dan tidak menerima gaji lebih empat bulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata lelaki warga Indonesia itu pula yang telah bekerja kira-kira setahun lepas, kehilangan satu jari tangan kanan akibat kemalangan di tempat kerja dan didapati berlaku pengabaian oleh majikan kerana gagal memberikan rawatan sepatutnya.

Menurutnya berdasarkan indikator seperti waktu kerja yang panjang dan tidak dibayar gaji melebihi tiga bulan serta pengabaian majikan, mangsa disyaki adalah orang yang diperdagangkan di bawah Seksyen 12 Akta ATIPSOM 2007.

Soffian berkata polis turut menahan seorang lelaki dan wanita warga China yang berperanan sebagai penyelia kilang dan pembantu penyelia untuk siasatan lanjut, selain 15 pendatang tanpa izin warga Myanmar, China, Bangladesh dan Indonesia.

Beliau berkata serbuan menerusi operasi Op Pintas Bersepadu itu melibatkan kerjasama Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran Kementerian Dalam Negeri serta Jabatan Tenaga Kerja Selangor.

- Bernama