Skip to main
Logo Malaysiakini

Pegawai kanan polis ditahan kes langgar lari pelajar SPM

Artikel ini sudah 7 bulan diterbitkan

Seorang pegawai kanan polis dari kontinjen Kedah ditahan bagi membantu siasatan kes langgar lari melibatkan kemalangan maut pelajar tingkatan lima berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati di Meru, Perak hari ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Yahaya Hassan memaklumkan pegawai terbabit akan direman esok untuk siasatan lanjut.

"Pemandu kereta berkenaan... telahpun ditahan dan akan direman pada 16 Disember 2023 (esok) untuk siasatan lanjut," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Yahaya memaklumkan polis menerima maklumat daripada orang awam mengenai kemalangan sebuah kereta Perodua Ativa dan motosikal jenis Yamaha, pada 12.40 tengah hari.

"Penunggang motosikal, iaitu remaja berusia 17 tahun meninggal dunia di tempat kejadian manakala pegawai polis berusia 44 tahun tidak mengalami kecederaan.

"Hasil bedah siasat mendapati punca kematiannya adalah kecederaan bahagian dada dan abdomen akibat kemalangan jalan raya," katanya lagi.

Yahaya berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 berkaitan kesalahan menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu dan berbahaya.

Menjelaskan lanjut, Yahaya berkata polis meneliti pelbagai sudut termasuk siasatan jenayah yang menjurus kepada kesalahan mematikan orang atau membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"PDRM tidak akan melindungi sesiapa termasuk pegawainya sendiri sekiranya mempunyai bukti yang kukuh.

"Orang awam juga diminta supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan atau boleh menimbulkan sebarang kegusaran awam," katanya.

Yahaya turut meminta orang awam yang mengetahui atau menyaksikan kejadian itu untuk berhubung dengan pegawai penyiasat kes, Inspektor Jong Pit Chiao di talian 016-8849163.

Terdahulu, Ketua Polis Perak Mohd Yusri Hassan Basri mengesahkan pihaknya menerima laporan kejadian tersebut dan kini sedang dalam proses memanggil saksi untuk membantu siasatan.