Mujahid: Hari ini dilihat kerdil, Amanah akan jadi 'idola' di masa depan
WAWANCARA | Meniti pemilihan parti Amanah akhir bulan ini, paling hangat diperkatakan adalah mengenai kedudukan kerusi presiden yang kini diterajui veteran politik dan antara pengasas parti iaitu Mohamad Sabu.
Sejak beberapa lama juga wujud gesaan agar Amanah menampilkan pucuk kepimpinan baru, termasuk bagi jawatan presiden. Pada masa sama, kerusi timbalan presiden juga kosong susulan kematian penyandangnya, Salahuddin Ayub pada Julai lalu.
Seorang lagi pengasas parti dan naib presiden Mujahid Yusof berkongsi harapannya terhadap Amanah dan cabaran-cabaran yang mendepani parti itu pasca pemilihan nanti.
Menjawab persoalan kedudukan presiden, dia sependapat dengan Mohamad - atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu - dengan menyerahkan perkara itu kepada perwakilan dan 27 anggota jawatankuasa pimpinan yang bakal terpilih nanti.
"Pendirian saya sama dengan presiden. Keterujaan ahli untuk melihat Amanah maju ke depan, mungkin di atas keperluan wajah (pemimpin) baru, saya tidak boleh nak sekat keterujaan itu.
"Terpulang kepada ahli-ahli untuk membuat pilihan terbaik, siapa yang mereka rasa sesuai untuk dipilih di kalangan 27 yang terbaik. Kemudian, dalam kalangan 27 orang ini yang akan sama-sama berunding siapa yang layak (menjadi presiden), siapa saja yang berada dalam kalangan 27 orang itu, layaklah menjadi presiden," katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini pada 13 Disember lalu.
Pemilihan Amanah berbeza dengan amalan kebanyakan parti lain. Amanah tidak mengamalkan pemilihan jawatan utama dari peringkat tertinggi hingga ke akar umbi melalui undian langsung.
Sebaliknya perwakilan hanya memilih sejumlah calon - bagi peringkat nasional, 27 orang - dan kemudian berbincang untuk mengenal pasti siapakah antara mereka sesuai dilantik menjadi ketua serta jawatan lain.
Parti tak lagi dipinggir
Mujahid membayangkan tanggungjawab berat bakal dipikul mana-mana individu yang dipilih sebagai presiden nanti.
Antara tanggungjawab itu, katanya, adalah memperkukuh struktur dalaman agar Amanah dapat berkembang "dalam keadaan disiplin", dengan membangkitkan apa yang terjadi kepada parti itu semasa pentadbiran PH di bawah Dr Mahathir Mohamad.
Ketika itu, dia berkata Amanah terbiar tidak terjaga apabila kebanyakan pemimpin utamanya dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri.
"Kita mengaku hal ini. Tiba-tiba pada 2020 kerajaan jatuh, ketika itu kita bersetuju bahawa inilah peluang dan masa terbaik untuk bina semula parti," katanya, sambil menambah dia ditugaskan untuk mengendalikan perkara itu, menerusi pembentukan sebuah modul untuk meningkatkan kefahaman ahli berkenaan dasar dan perjuangan parti.
"Tiba-tiba jadi kerajaan balik (selepas PRU15). Kami belajar daripada pengalaman lalu dan berazam untuk tidak lagi tinggalkan parti," katanya.
Bekas menteri itu juga berkata presiden perlu mengukuhkan hubungan dengan parti-parti lain dalam kerajaan serta memastikan Amanah sentiasa melontarkan idea-idea yang dapat dijadikan asas kepada dasar kerajaan.
"Seperti mana pernah diutarakan Salahuddin yang terkenal dengan Rahmah. Hari ini ia nama yang dikenali semua di Malaysia. Kita perlu lebih banyak idea maka orang akan tahu peranan Amanah walaupun dilihat sebagai parti yang junior dan kerdil.
"Kena pastikan walau ada tanggapan kata Amanah tiada tokoh besar, idea-idea Amanah mempengaruhi masyarakat dan negara, seperti Rahmah.
"Lima tahun ke depan, sesiapa saja yang jadi presiden perlu menumpukan perkara ini...Insya-Allah saya yakin, hari ini orang kata Amanah kerdil, di masa depan ia akan jadi idola rakyat," katanya lagi.
Takkan ada perpecahan
Amanah ditubuhkan pada 2015 susulan krisis dalaman PAS. Ketika itu, sejumlah pemimpin PAS diketuai Mohamad - ketika itu timbalan presiden - bertindak keluar parti dan menubuhkan Amanah.
Mengimbas detik-detik awal Amanah, Mujahid berkata parti itu dipimpin secara kolektif dan menolak tanggapan "seniority" sebagai faktor dalam menentukan kepimpinan parti.
"Sejak menubuhkan Amanah, tidak pernah ada isu seniority. Kita akui bila berdepan dengan PKR yang meletakkan Anwar Ibrahim sebagai ikon, DAP pula dengan Lim Guan Eng, manakala Bersatu dengan Dr Mahathir Mohamad, tetapi Amanah?
"Kita tak pernah menyatakan ikon kita adalah Mat Sabu, tapi bersetuju untuk menyatakan kita adalah kepimpinan kolektif," tegasnya sambil memberikan contoh Khalid Samad yang lantang sebagai "panglima" (warlord), Dzulkefly Ahmad sebagai perangka strategi dan Salahuddin sebagai "diplomat" yang sering mewakili parti dalam rundingan.
Ditanya berkenaan kebimbangan persaingan dalam pemilihan nanti akan membawa kepada perpecahan dalaman, Mujahid berkata Amanah tidak sukar dikawal ekoran usianya yang masih muda.
Katanya lagi, dasar "rahmatan lil alamin" yang dipegang juga menjadikan setiap persaingan dan lontaran pandangan bebas dibuat tetapi secara beradab, selain perlembagaan parti yang tidak membenarkan jawatan tertinggi dipertandingkan secara terbuka.
"Saya tak nampak tahap persaingan hari ini (membawa perpecahan)...Kalau banding dengan parti-parti lain, baik sangat Amanah ini.
"Susah (untuk berpecah) melainkan ada orang yang teruk sangat, tak tahu perlembagaan parti dan kata 'aku nak jadi presiden'," kata Mujahid.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai