Skip to main
Logo Malaysiakini

Amanah ambil risiko dengan pilih jalan tengah - Mujahid

Artikel ini sudah 7 bulan diterbitkan

WAWANCARA | Sebagai menteri yang menjaga hal ehwal agama ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) yang pertama, Mujahid Yusof menjadi antara individu utama yang berdepan dengan serangan pembangkang yang menjadikan agama - selain kaum - sebagai antara senjata utama.

Selepas kejatuhan kerajaan PH pada awal 2020, pertembungan itu berlangsung di mahkamah pula dan setakat ini sekurang-kurangnya dua kes sudah berpihak kepadanya.

Pada Ogos lalu, pemimpin PAS Ahmad Dusuki Abd Rani menarik balik rayuannya terhadap keputusan mahkamah menolak saman fitnah yang difailkannya terhadap Mujahid berhubung aset Tabung Haji.

Dua tahun sebelumnya, lidah rasmi PAS, Harakah menyiarkan permohonan maaf berhubung artikel berkaitan Mujahid sebagai menteri agama.

"Tahun depan, kes yang sama melibatkan hantaran di Facebook PAS dan saya heret mereka ke mahkamah. Tunggulah satu lagi kemenangan.

"Maka tidak adil untuk kata (tempohnya ketika di dalam kerajaan) memburukkan imej, bahkan ia menaikkan imej saya, (membuktikan) apa yang dibuat adalah betul. Saya serah kepada rakyat untuk buat perbandingan," katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini baru-baru ini.

Mujahid mengakui sukar untuk kerajaan berdepan dengan asakan pembangkang yang menurutnya menggunakan sentimen kaum dan agama.

Begitu juga dengan Amanah, parti yang dianggotainya, yang diberi peranan utama untuk menangkis serangan PAS.

"Kami tidak main game itu (sentimen agama). Kami tidak tipu kata kami parti suci, kami adalah parti politik, ada kelemahannya. Kami menegakkan 'rahmatan lil alamin' yang sifatnya centrist (kelompok tengah atau sederhana).

"Mungkin ini dilihat sukar untuk berdepan dengan golongan kanan atau kiri. Tapi bagi saya, gagasan 'rahmatan lil alamin' yang kami perjuangkan ini, walau sukar, kami sanggup ambil risiko untuk Malaysia yang jauh lebih baik," katanya.

Melawan naratif PAS

Oleh sebab itu, katanya, tidak banyak isu berkaitan agama yang kedengaran sepanjang 33 bulan pentadbiran PN walaupun baginya keadaan tidak banyak berbeza.

"Seperti isu konsert dan LGBT. Kami tidak ambil peluang (untuk serang) dan bukan cara kami menggunakan isu kaum dan agama," katanya.

"Zaman dia pun ada konsert, tapi kita tahu konsert ditentukan oleh peruntukan undang-undang dan oleh panel, termasuk Jakim yang bagi nasihat. Apa yang lebih penting, ia dapat kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Kami konsisten perkara ini berdasarkan undang-undang yang ada, dan lebih penting mengikut kebebasan bagi kegiatan kesenian. Kalau dilihat tidak elok, bagi alternatif yang elok dan khalayak ada pilihan nak pergi yang mana," katanya lagi.

Di pentas politik kepartian, Amanah dilihat diberi peranan utama untuk mendepani isu-su agama dan sering dibandingkan dengan PAS. Mujahid menerimanya sebagai satu realiti dan Amanah memang "mahu memperkenalkan diri" sebagai parti Islam.

"Naratif PAS adalah kasar, keras...Naratif Amanah adalah rahmah dan progresif.

"Pihak yang dilihat paling mampu dalam (persaingan itu) adalah Amanah berbanding PKR, DAP lagi jauhlah...Jadi jelas yang akan melawan naratif (PAS) tak lain dan tak bukan adalah Amanah," katanya.

Amanah kini mengadakan konvensyen tahunannya di Klang, Selangor. Parti itu juga akan mengadakan pemilihan jawatan di peringkat nasional.

Sejak beberapa lama juga wujud gesaan agar Amanah menampilkan pucuk kepimpinan baru dan antara persaingan yang menarik perhatian setakat ini ialah jawatan ketua pemuda.

Bagaimana dengan Pemuda Amanah - dengan tanggapan lazim bahawa sayap itu perlu lantang - yang dilihat gagal melawan Pemuda PN dalam membawa naratif Islam?

"Berbalik pada soalan naratif Islam yang bagaimana, yang ekstrem dan tipu kata Mahkamah Syariah akan terjejas dan agama tak dibela? Kalau nak lawan naratif itu, saya setuju susah. Pemuda Umno pun susah nak jawab.

"Tetapi jika (persaingan) antara dasar (yang dibawa), anda boleh dilihat perbezaannya," katanya, dengan membangkitkan debat antara Ketua Pemuda Amanah Hasbie Muda dan Ketua Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden pada November lalu.

Justeru, Mujahid setuju Pemuda Amanah perlu lebih lantang tetapi dalam hal-hal yang sewajarnya.

"Kita kena garang dalam mempertahankan raison d'etre (matlamat) kita, atau matlamat kewujudan Malaysia dari segi kepelbagaian kaum dan sebagainya," katanya.

Perlu gerakkan ahli

Dia menekankan keperluan untuk Amanah pantas membina kekuatan untuk menyaingi PAS terutama dalam pilihan raya, apabila Amanah biasanya yang akan dipertaruhkan di kerusi yang ditandingi PAS.

"PAS sudah berpuluh tahun, sebab itu cawangannya lebih banyak dan (lebih) berpengalaman menggerakkan ahli. Jadi Amanah kena fast track, ini sangat perlu (dilakukan oleh) mana-mana kepimpinan seterusnya.

"Tiada masa untuk tunggu puluhan tahun (seperti PAS). Hari ini lebih mudah, misalnya di media sosial orang boleh kenal kita.

"Tidak seperti PAS dulu yang berlawan dengan Umno yang kuat. Jadi kalau mereka boleh berjaya dalam suasana itu, kenapa kita tidak boleh lakukannya dengan segala kemudahan yang ada hari ini," katanya.

Ditanya berkenaan pandangan bahawa daya tarikan Amanah kian pudar, Mujahid tidak bersetuju dan membangkitkan perkembangan parti dan keahlian yang bertambah.

"Di semenanjung kita ada lebih 100 kawasan berdaftar, di Sabah ada 14 dan Sarawak lima. Di Parit Buntar (kawasannya) ada 50 cawangan...Perlu lihat fakta, bagaimana kita berkembang secara organik tetapi berterusan.

"Bagi saya, pihak yang pudar adalah walau mereka menang 32-0 di Terengganu, tetapi tak diterima masyarakat bukan Islam," katanya merujuk kepada kejayaan PAS menang di semua kerusi DUN di negeri tersebut pada PRN lalu.

"Itu (maksudnya) pudarlah dalam konteks politik di Malaysia yang terbina atas kepelbagaian kaum. Parti yang sediakan tapak yang inklusiflah yang bercahaya," katanya lagi.