Skip to main
Logo Malaysiakini

'Melayu percaya Islam terancam sebab disebut oleh ulama pernah mimpi Nabi'

Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata dakwaan berhubung Islam sedang terancam dan kerajaan persekutuan tumbang di tengah penggal dipercayai sejumlah orang Melayu kerana ia dibuat oleh seorang yang mendakwa pernah bermimpi bertemu Nabi Muhammad.

"...(Orang) yang bercakap itu yang (dakwa) pernah jumpa Nabi melalui mimpi...Mimpi yang disahkan oleh mursyidul am PAS.

"Kamu dan ayah kamu (yang) ahli Umno, DAP tak percaya (dakwaan itu). Tapi bagi orang awam, dia ulama besar sebab itu dapat masuk dalam pemikiran (mereka)," katanya ketika merasmikan Konvensyen Pemuda Amanah di Kuala Lumpur, hari ini.

Walaupun tidak menyebut sebarang nama secara khusus, Mohamad jelas merujuk Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang pernah membangkitkan isu pertukaran kerajaan ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Ogos lalu.

Ketika itu, Abdul Hadi berkata kerajaan persekutuan boleh bertukar jika PN menang besar dalam PRN tersebut.

Abdul Hadi Awang

Soal kedudukan Islam pula memang sering disuarakan pembangkang, antaranya dengan membangkitkan jumlah ahli parlimen bukan Islam, terutama DAP, dalam kerajaan.

Mohamad menyifatkan dakwaan itu cukup berkesan sehingga turut dipercayai "cerdik pandai" Melayu dan penjawat awam dan mempengaruhi keputusan PRN di Selangor walaupun kerajaan negeri banyak mengadakan program yang membantu rakyat.

"(Dakwaan) Islam terancam yang dibawa mereka sedikit sebanyak masuk dalam fikiran orang Melayu. Bukan hanya di kampung…

"(Program kerajaan Selangor) bantu rakyat ini daripada beranak sampai mati. Tapi saya sendiri tak sangka mereka (PN) boleh menang 22 kerusi, ingat dalam enam atau tujuh kerusi sahaja.

"Malah kita kalah di kawasan yang ramai intelektual, iaitu Bangi. (Sebabnya) soal Islam terancam...Isu ini dimainkan sehingga minda orang Melayu terperangkap," katanya lagi.

Pada PRN lalu, calon PAS Mohd Shafie Ngah berjaya merampas kerusi DUN Sungai Ramal yang terletak dalam kawasan Parlimen Bangi daripada penyandang daripada Amanah, Mazwan Johar. Dua lagi kerusi DUN bawah Parlimen itu, iaitu Kajang dan Balakong masing-masing kekal dipegang PKR dan DAP.

Kata Mohamad lagi, isu pertukaran pentadbiran sukar ditolak kerana ia sudah berlaku sebelum ini, menerusi Langkah Sheraton pada 2020 dan ketika Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan pada 2021.

"Mereka (pembangkang) secara bersungguh mengatakan kerajaan akan bertukar selepas PRN. Penjawat awam sukar untuk tak percaya kerana telah berlaku sebelum ini.

"Bila kerajaan tak bertukar selepas itu, kita lihat penjawat awam sedikit sebanyak berubah (sokongan)," katanya lagi.