Skip to main
Logo Malaysiakini

Pemimpin Melayu akan terus jadi PM selagi adil, bijaksana - Puad

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Pemimpin Umno berpandangan tiada keperluan meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengehadkan jawatan perdana menteri hanya untuk orang Melayu.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Mohd Puad Zarkashi berkata selepas 66 tahun merdeka Malaysia masih lagi ditadbir oleh orang Melayu sebagai perdana menteri.

"Sebenarnya tiada keperluan untuk meminda perlembagaan negara. Sudah 66 tahun Malaysia merdeka. Orang Melayu masih kekal jadi perdana menteri.

"Puncanya ialah kematangan, kebijaksanaan dan kepimpinan. Selagi kepimpinan Melayu adil, inklusif, matang dan bijaksana selagi itu kaum lain akan beri kepercayaan kepada orang Melayu untuk jadi perdana menteri," katanya kepada Malaysiakini.

Polemik bukan Melayu sebagai perdana menteri tercetus apabila Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mencadangkan supaya Perdana Menteri Anwar Ibrahim meminda perlembagaan supaya hanya orang Melayu-Islam saja boleh menjadi perdana menteri.

Pun begitu, Mohd Puad berkata ahli parlimen Machang tidak perlu mendesak pindaan perlembagaan dilakukan menyifatkan cadangan itu sebagai "bebal."

"Tetapi jika kepimpinan Melayu didokong oleh orang yang tidak matang dan tidak bijaksana macam Wan Ahmad Fayhsal maka bukan Melayu tidak perlu menunggu 100 (tahun) lagi untuk jadi perdana menteri," katanya lagi.

PM Fiji keturunan India diguling

Mohd Puad juga berkata Malaysia tidak perlu menjadi seperti Fiji, merujuk penggulingan perdana menteri pada Mei 2000 atas faktor politik kaum.

"Mahendran Choudary minoriti berketurunan India pernah jadi perdana menteri Fiji melalui pilihan raya.

"Jeneral Rabuka beketurunan Fiji melakukan rampasan kuasa untuk mengembalikan jawatan perdana menteri kepada etnik Fiji," katanya lagi.

Semalam, Anwar berkata saranan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi membataskan perdana nenteri kepada orang Melayu-Islam sahaja adalah tidak wajar dan lebih kepada mengapi-apikan keadaan.

Perdana menteri menjelaskan pihak yang membuat saranan tersebut nyata tidak memahami konsep sebenar Perlembagaan Persekutuan.

Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Veteran Umno Mustapha Yaakub pula berpendapat perkara itu tidak perlu dipersoalkan kerana ia telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Katanya lagi, pada masa sama veteran DAP Lim Kit Siang juga tidak perlu membangkitkan isu berkenaan sehingga mencetuskan polemik ketika mana hubungan Umno-DAP pada tahap "memuaskan".

"DAP telah menandatangani perjanjian bagi membentuk kerajaan perpaduan, tidak sepatutnya membangkitkan perkara sebegitu seperti mana beberapa yang telah dipersetujui dalam perjanjian.

"Begitu juga pindaan tidak perlu dilakukan kerana semua telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya ketika diihubungi.