Skip to main
Logo Malaysiakini

Ketua biskop seru masyarakat tangani rasa curiga, prasangka

Artikel ini sudah 7 bulan diterbitkan

Ketua Biskop Julian Leow Beng Kim menyeru masyarakat untuk bersama-sama ke arah negara yang lebih baik.

Menurut Leow, semangat kebersamaan di Malaysia kian terhakis sejak beberapa tahun ini, antaranya dengan ada pihak yang dilihat ingin menentukan bagaimana orang lain mengamalkan agama mereka.

"Lebih banyak prasangka dan rasa curiga dalam kalangan masyarakat berlainan agama berbanding 40 tahun lalu.

"Bagaimana kita sampai ke tahap ini, dalam perjalanan kita sebagai sebuah negara selepas 60 tahun (Malaysia) terbentuk dan 66 tahun merdeka?" soalnya ketika berucap dalam program tahunan Persekutuan Kristian Malaysia di Selangor, hari ini.

Dia berkata kebanyakan rasa takut adalah tidak berasas dan dapat diselesaikan dengan mudah menerusi dialog yang dapat meningkatkan kefahaman terhadap pandangan berbeza dalam masyarakat.

"Kita mesti mendengar pihak lain dan tangani kebimbangan dan kerisauan mereka. Kalau pun kita tidak dapat capai konsensus, mungkin kita boleh ada kompromi.

"Kita mesti sentiasa mampu setuju untuk tidak bersetuju dan berusaha ke arah kebaikan secara keseluruhan," katanya lagi.

Leow berkata, rumah ibadat seperti gereja dan masjid tidak harus menjadi simbol pemisahan tetapi sebagai monumen kebebasan agama dan rasa saling menghormati.

"Salah satu aspek luar biasa Malaysia adalah kemampuan kita mengekalkan identiti budaya dan agama dan pada masa sama hidup bersama dengan aman dan harmoni. Ada banyak lagi yang boleh kita lakukan...

"Dengan kita melangkah ke depan sebagai sebuah negara, marilah kita berpegang kepada nilai yang menjadi ciri kita - komitmen untuk bersatu dalam kepelbagaian, tekad terhadap rasa saling menghormati dan keyakinan tidak berbelah bahagi terhadap kekuatan kerencaman kepelbagaian budaya kita," katanya lagi.

Antara tetamu kehormat yang hadir adalah Menteri Pengangkutan Anthony Loke yang mewakili Perdana Menteri Anwar Ibrahim, serta Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Anwar tidak dapat hadir kerana menyertai Sidang Kemuncak Peringatan Asean-Jepun di Tokyo.

Acara tahunan ini biasanya mengundang pemimpin kerajaan dan pembangkang sebagai tetamu kehormat.

Turut hadir adalah Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Ahmad Fahmi Mohd Samsudin, Pengerusi Bersih Muhammad Faisal Abdul Aziz, Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan, Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok dan beberapa diplomat.

Dalam ucapannya, Loke berkata antara faktor di sebalik penubuhan kerajaan gabungan adalah perpecahan yang kian meningkat dalam kalangan rakyat.

"Oleh sebab kebimbangan yang politik akan terus memburukkan polarisasi, kami mengetepikan perseteruan lama untuk memulakan episod baru untuk Malaysia," katanya.

Bagaimanapun Loke mengakui banyak parti komponen dalam kerajaan masih belajar untuk bekerjasama.

"Apa yang paling penting adalah kita ada wawasan.

"Jika kita boleh ketepikan perbezaan dan raikan kepelbagaian kita, potensi Malaysia dapat terus dikuatkan dan boleh kita boleh pergi lebih jauh sebagai sebuah negara (dengan kepelbagaian) di dunia ini," katanya lagi.

[Baca berita asal]