Skip to main
Logo Malaysiakini

PAS Wilayah bimbang monopoli kaum jika ada pilihan raya PBT

Artikel ini sudah 6 bulan diterbitkan

Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan Azhar Yahya membantah keras Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan Tan Kok Wai yang menggesa pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) di ibu negara dilaksanakan dalam usaha menegakkan demokrasi.

Tegas Azhar, pihaknya bimbang jika pilihan raya PBT diadakan akan berlaku monopoli kaum khususnya kaum Cina dalam menguasai kerusi PBT di Kuala Lumpur.

“Ini kerana pecahan populasi mengikut kaum tidak seimbang khususnya di Wilayah Persekutuan.

“Buktinya, Parlimen Kepong, Seputeh, Cheras, Bukit Bintang, Segambut, dikuasai oleh DAP manakala kerusi Wangsa Maju, Setiawangsa, Lembah Pantai dan Bandar Tun Razak adalah kawasan campuran yang majoritinya dikuasai oleh kaum selain Melayu.

“PAS Wilayah Persekutuan tidak bercakap mengenai soal rasis (perkauman), tetapi apakah jaminan bahawa orang Melayu dapat kerusi dan suara majoriti bagi memastikan hak dan keistimewaan agama Islam dan bangsa Melayu dipertahankan seperti termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan,” katanya pada kenyataan media, hari ini.

Azhar berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan Tan Kok Wai (gambar, atas) yang menggesa agar pilihan raya PBT dilaksanakan.

Menurut ahli parlimen Cheras itu pelaksanaan itu adalah usaha menegakkan demokrasi dan dapat menjadikan Kuala Lumpur sebuah ibu negara yang mampan, mengamalkan tadbir urus berkesan, bersih dan berpaksikan rakyat.

"Kita tidak perlu meneruskan laksanakan pilihan raya PBT di seluruh negara, tetapi kita boleh bermula di Kuala Lumpur yang amat memerlukan demokrasi dalam proses pendemokrasian sistem pentadbiran ibu negara kita," katanya semalam.

Bagaimanapun gesaan Tan itu segera dibantah pemimpin Umno Lokman Nor Adam Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal (gambar, atas).

Sementara itu Azhar berkata dalam sistem pilihan raya di Malaysia, pemilihan wakil Dewan Rakyat (ahli parlimen) dilaksanakan semenjak tahun 1955.

Katanya, negeri-negeri selain Wilayah Persekutuan juga ada dewan undangan negeri (DUN) bagi pemilihan wakil bagi DUN.

“Di Wilayah Persekutuan, kesemua 13 ahli parlimen sudah memadai sebagai wakil rakyat dan menjaga kawasan masing-masing.

Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan Azhar Yahya.

“Tidak cukup demokrasikah bagi Tan Kok Wai dan DAP dengan sistem pilihan raya yang sedia ada sehingga mahu mengadakan pilihanraya PBT pula?

“Berapa banyak kerusi lagi DAP hendak menang di Wilayah Persekutuan sehingga mahu pula kepada pilihan raya BPT? Berapa pula kos perbelanjaan bagi menampung pilihan raya PBT jika ia diadakan kelak?“ soalnya.

Tambahnya sebelum PRU ke15, Wilayah Persekutuan mempunyai seorang menteri Wilayah Persekutuan yang bertanggungjawab ke atas seluruh parlimen di Wilayah Persekutuan dan dibantu oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur.

“Selepas PRU15 pula, portfolio kementerian Wilayah Persekutuan di bawah seliaan perdana menteri sendiri dan di bawah Jabatan Wilayah Persekutuan. Rombakan Kabinet pada 12 Disember yang lalu meletakkan Dr Zaliha Mustafa sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).

“Justeru, bagi PAS pelantikan seorang menteri yang bertanggungjawab khusus bagi Wilayah Persekutuan sudah cukup meskipun tidak sebaik seperti sebelum PRU15 dahulu,” katanya lagi.

Azhar berkata dia musykil dengan agenda yang DAP mainkan dengan cadangan seperti itu dan menganggap kerajaan perlu melihat jauh ke depan dan menolak cadangan Tan itu.

“Ideanya dilihat sudah tepu, dangkal, sangat tidak relevan dan realistik dengan keadaan semasa.

“Sebaliknya, jika DAP mahu menegakkan demokrasi, adalah lebih baik Tan Kok Wai memperkemaskan partinya dan Pakatan Harapan (PH) terlebih dahulu yang kononnya mendukung kerajaan perpaduan sebelum melontarkan idea yang mampu mencetuskan ketegangan dan perpecahan seperti itu,” jelasnya.

Untuk rekod, pilihan raya PBT dimansuhkan pada 1960an, selepas pembangkang Barisan Sosialis dan Parti Progresif Rakyat ketika itu meraih kemenangan di bandar-bandar besar termasuk di Georgetown, Melaka, Seremban dan Ipoh.