M'sia boleh saman bank asing terbabit transaksi 1MDB - Johari
Malaysia boleh memulakan tindakan undang-undang terhadap bank asing yang tidak melaksanakan proses pengesahan “kenali pelanggan anda” (KYC) dengan betul, sekali gus membenarkan dana 1MDB mengalir ke akaun yang tidak diingini.
Menurut pengerusi pasukan petugas 1MDB Johari Abdul Ghani, sekurang-kurangnya lapan bank asing telah memudahkan transaksi sedemikian pada aliran wang 1MDB di beberapa negara.
"Jika kita ambil tindakan kepada bank di luar negara ini yang memudah cara pindahan wang dan tidak menggunakan KYC yang betul, mungkin kita boleh mulakan tindakan undang-undang terhadap mereka kerana tidak menjalankan KYC dengan betul.
“Jika kita saman mana-mana bank di semua negara yang mempunyai aliran wang ini dan ia mahu lawan, kita lawan dan selalunya saya tengok jumlah yang tidak besar, kita boleh buat pertimbangan, selesaikan di luar mahkamah.
“Bank ini juga tidak suka namanya terbabit (dalam skandal 1MDB),” katanya, lapor Utusan Malaysia.
Johari, yang baru dilantik sebagai menteri perladangan dan komoditi, mengesahkan dia akan terus mengetuai pasukan petugas 1MDB kerana masih terdapat "isu yang tidak dapat diselesaikan" dalam mendapatkan semula aset berkaitan 1MDB.
Mengulas lanjut, Johari berkata sebarang tindakan undang-undang akan menjadi "fasa dua" pemulihan manakala penyelesaian menjadi fasa pertama, seperti yang dilakukan dengan Goldman Sachs Group.
“Pada masa ini, kita sudah sampai satu peringkat pemulihan besar (major recovery) yang kita sudah dapat daripada Goldman.
“Cuma ada beberapa pertikaian dengan Goldman ini dari segi janji yang mereka mahu bayar 1.4 bilion US yang mereka masih tidak selesaikan.
“Oleh kerana tidak dibayar meskipun kita sudah beri empat kali lanjutan, namun mereka tidak buat bayaran. Jadi kita terpaksa berdepan dengan arbitrasi. Ini akan menyebabkan kita pergi kes perbicaraan dan lihat apa keputusannya,” katanya lagi.
Oktober lalu, Goldman Sachs memfailkan tindakan undang-undang terhadap Malaysia di Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa London berhubung perjanjian penyelesaian yang dikaitkan dengan peranan bank itu dalam urus niaga 1MDB.
Kedua-dua pihak terlibat dalam pertikaian mengenai perjanjian penyelesaian pada 2020, di mana bank itu telah bersetuju untuk membayar AS$3.9 bilion (RM18.41 bilion) untuk menyelesaikan siasatan jenayah Malaysia berhubung peranannya dalam urusan itu.
Dalam pemfailan kawal selia awal tahun ini, Goldman berkata ia juga perlu membuat pembayaran interim sekali sebanyak AS$250 juta jika kerajaan Malaysia tidak menerima sekurang-kurangnya AS$500 juta aset dan hasil berkaitan 1MDB menjelang Ogos tahun lepas.
Johari menegaskan pasukan petugas sedang mendapatkan semula dana 1MDB dari beberapa negara, tetapi tidak memberikan butiran mengenai jumlah sebenar.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai