Skip to main
Logo Malaysiakini

PKR: DAP patut bawa bincang pilihan raya PBT dengan PH

Artikel ini sudah 7 bulan diterbitkan

Cadangan DAP untuk menghidupkan semula pilihan raya majlis tempatan sepatutnya dibincangkan secara dalaman dengan Pakatan Harapan terlebih dahulu, kata seorang pemimpin PKR.

Pengarah Komunikasi PKR Lee Chean Chung berkata ini boleh membantu idea itu mendapat penerimaan yang lebih baik.

"Mengapa tidak bawa bincang dalam mesyuarat Pakatan Harapan (PH), kemudian adakan libat urus untuk yakinkan mereka yang tidak percaya atau yang cuba menghantui orang lain, semua ini perlu ditangani.

“Bukan sekadar lontar idea, tetapi wujudkan libat urus dengan pihak berkepentingan kerana konsep yang baik kalau dimomokkan atau orang lain tidak terima, maka jadi usaha yang sia-sia,” katanya seperti dipetik Utusan Malaysia.

Ahad lalu, Ketua DAP Wilayah Persekutuan Tan Kok Wai (gambar, atas) mencadangkan supaya pilihan raya majlis tempatan diperkenalkan semula, dengan Kuala Lumpur sebagai medan ujian pertama.

Cadangan itu ditolak golongan konservatif dalam Umno, PAS, dan Bersatu - yang berhujah pilihan raya kerajaan tempatan akan mengakibatkan ketegangan kaum kerana penguasaan DAP dalam pemilihan tersebut.

Kebimbangan seperti itu dimainkan oleh Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini, yang mengulangi dakwaan bahawa pilihan raya majlis tempatan akan menghakis kuasa politik Melayu.

"Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) harus menghentikan agenda ini jika mahu rakyat melihat bahawa Kerajaan Madani tidak ditekan oleh DAP.

"Kita tidak boleh bertolak ansur dalam agenda seperti ini kerana bimbang bila kita terlalu baik (bertolak ansur), lama-lama kita ditolak beransur-ansur," katanya.

Semasa pilihan raya umum 2022, PH berjanji untuk membenarkan rakyat KL bersuara secara demokratik dalam cara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dikendalikan, tetapi tidak lagi mengikrarkan pilihan raya majlis tempatan secara langsung.

Kali terakhir Malaysia mengadakan pilihan raya majlis tempatan ialah pada tahun 1963. Pusingan seterusnya, yang sepatutnya diadakan pada tahun berikutnya, telah digantung.

Penggantungan sementara itu menjadi kekal pada 1976 apabila parlimen meluluskan Akta Kerajaan Tempatan menyebabkan pilihan raya kerajaan tempatan dimansuhkan sama sekali dan hanya memperuntukkan pelantikan ahli majlis tempatan.

Bagaimanapun, Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) Muhammad Faisal Abdul Aziz (gambar, atas) berpandangan pelaksanaan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak perlu lagi dibimbangi dari sisi perkauman.

Bekas presiden Abim itu berkata penduduk Kuala Lumpur pada hari ini adalah berbilang kaum dengan Melayu menjadi majoriti berbeza dengan demografi bandar selepas merdeka pada tahun 1960an.

Jelasnya, kebaikan pilihan raya PBT tidak boleh dinafikan kerana akan memperkasa suara rakyat dalam membawa isu setempat selain memastikan peningkatan nilai kebertanggungjawaban pihak berkuasa.

Ketika ini, terdapat 151 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara, dengan 19 darinya berstatus majlis bandar raya atau dewan bandar raya.