Skip to main
Logo Malaysiakini

Menara Ilham tenang, tapi jadi tumpuan wartawan

Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

Suasana di Menara Ilham di Kuala Lumpur seperti biasa walaupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam dilapor menyita bangunan milik keluarga bekas menteri kewangan Daim Zainuddin itu.

Tinjauan KiniTV pagi ini mendapati tiada kelibat pihak berkuasa, termasuk pegawai SPRM, di premis 60 tingkat yang terletak di  Jalan Binjai itu.

Notis sitaan juga tidak kelihatan ditampal.

Petugas media berkumpul di lokasi itu sejak sembilan pagi tadi.

Daim Zainuddin

Malam tadi, laporan media menyebut SPRM menyita bangunan itu.

Memetik sumber, tokoh korporat yang dekat dengan Mahathir Mohamad itu didakwa enggan mematuhi arahan SPRM untuk mengisytiharkan pegangan kewangan miliknya dan keluarga.

Tindakan itu dikatakan sebahagian daripada siasatan antipengubahan wang haram yang bermula pada Mei lalu berkaitan transaksi korporat bernilai RM2.3 bilion pada November 1997.

Urus niaga itu melibatkan syarikat Renong Bhd dan United Engineers Malaysia Bhd (UEM).

CNA melaporkan Daim enggan mengulas mengenai perkara itu.

Enggan mengulas lanjut, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dilapor mengesahkan sitaan itu susulan siasatan berkaitan harta Daim.

Notis penyitaan harta tak alih bertarikh 18 Disember dilapor dikeluarkan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Akram Gharib bawah Seksyen 38(1) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 376(3) Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593].

Menurut Seksyen 38(5) Akta SPRM 2009, pihak yang melanggar kehendak notis itu melakukan kesalahan dan boleh didenda tidak lebih dua kali ganda nilai harta atau RM50,000, mana-mana yang lebih tinggi, dan penjara tidak lebih dua tahun.

Daim pernah berkhidmat sebagai menteri kewangan sebanyak dua kali semasa kali pertama Mahathir memegang jawatan sebagai perdana menteri dari 1981-2003.

Dia juga mengetuai majlis penasihat kerajaan ketika Mahathir menjadi perdana menteri kali kedua pada 2018.

Menara Ilham antara menara yang yang tertinggi di Malaysia.