Skip to main
Logo Malaysiakini

'Terkejut Menara Ilham disita, pekerja dapat tahu dari berita'

Artikel ini sudah 7 bulan diterbitkan

Urusan harian di Menara Ilham, Jalan Binjai di Kuala Lumpur, berjalan seperti biasa walaupun bangunan itu telah disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Isnin lepas.

Malah, seorang pekerja sebuah syarikat yang berpejabat di bangunan itu mendakwa tidak menerima sebarang arahan daripada syarikatnya sama ada perlu menghentikan operasi.

“Tetapi sebentar lagi mungkin syarikat (pihak atasan) akan adakan mesyuarat untuk berbincang tentang langkah seterusnya yang perlu diambil terutamanya dari segi keselamatan.

“Semua rakan sekerja saya terkejut bila mendapat tahu tentang bangunan ini disita.

"Kami tahu pun daripada berita semalam,” katanya yang enggan dikenali kepada pemberita di perkarangan bangunan Menara Ilham hari ini.

Rakannya, yang juga enggan dikenali berkata pada minggu lepas, beliau melihat beberapa anggota polis berada di hadapan bangunan itu, namun beliau tidak berasa pelik dengan situasi berkenaan.

Sementara itu, tinjauan Bernama di lokasi hari ini mendapati beberapa pengamal media mula berkumpul di hadapan bangunan itu sejak 9 pagi bagi mendapatkan perkembangan terkini.

Berdasarkan maklumat daripada sumber SPRM, bangunan itu disita dipercayai berkaitan kes penyelewengan dana negara berjumlah lebih RM2.3 bilion melibatkan seorang tokoh korporat dan bekas menteri kanan.

- Bernama