AJK PSM cedera semasa pengusiran petani akan didakwa
Ahli Jawatankuasa Pusat PSM Chong Yee Shan, yang cedera ketika membantah pengusiran enam petani di Perak akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh pada 27 Dis.
Polis telah memaklumkan Chong akan didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan berkaitan menghalang penjawat awam menjalankan tugasnya yang membawa hukuman penjara dua tahun, denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
PSM - yang percaya kes itu berkaitan dengan insiden pada 24 Okt di Kanthan, yang terletak di kawasan Parlimen Tambun pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim - berkata pengusiran itu sendiri sedang dipertikaikan di mahkamah tinggi.
Dalam kejadian itu, Chong mengalami kecederaan di mulut dan hidung selepas didakwa ditolak pegawai Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak.
“Chong mengalami kecederaan serius pada orbit kanannya (rongga mata) dengan patah tulang bersebelahan dengan hidung. Ini telah menjejaskan penglihatannya.
"Dia kini melihat arah tertentu berganda dan kini sedang menjalani rawatan," kata Timbalan Pengerusi PSM S Arutchelvan dalam satu kenyataan petang ini.
Dia berkata walaupun sebanyak 45 laporan polis dibuat di seluruh negara terhadap pegawai PTG itu namun yang didakwa "mangsa keganasan negara."
“Penyiasatan dan keputusan ini sama sekali tidak wajar. Ini kes double standard apabila mangsa akan didakwa manakala penjenayah nampaknya dibenarkan.
“PSM menyeru peguam negara untuk campur tangan dan melihat semula kes ini kerana ia menunjukkan keadilan yang terang-terangan berat sebelah.
“Kami menggesa pertuduhan terhadap Chong digugurkan dan siasatan baru dijalankan oleh penyiasat neutral dari polis daerah lain,” katanya.
Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan Ahli Jawatankuasa PSM R Karthiges berkata kekecohan tercetus apabila pegawai PTG tiba di ladang itu dengan jentolak dan jengkaut.
Katanya, seramai 200 petani terlibat dalam sektor pertanian di Kanthan, yang dianggap sebagai satu-satunya wilayah pengeluar sayur-sayuran terbesar di Perak.
Menurutnya, enam petani menerima notis bertarikh 13 Okt yang memaklumkan kebun sayuran mereka terletak di atas tanah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak dan diarah untuk pengosongan dalam tempoh seminggu.
Sebelum pilihan raya umum lalu, para petani memberitahu Malaysiakini mereka berharap Anwar dapat menyelesaikan masalah mereka.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai