Skip to main
Logo Malaysiakini

Pemimpin MIC, PKR bertikam lidah isu roboh kuil lebih 100 tahun

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Timbalan Presiden MIC M Saravanan menyifatkan langkah Perdana Menteri Anwar Ibrahim melantik Naib Presiden PKR K Saraswathy sebagai timbalan menteri perpaduan ketika rombakan kabinet sebelum ini sebagai kesilapan besar.

Saraswathy pula meminta pemimpin MIC itu agar "duduk tepi" dan tidak perlu sibuk dalam urusan kerajaan perpaduan.

Demikian pertikaman lidah dua ahli politik itu berhubung tindakan sebuah syarikat hartanah merobohkan sebuah kuil berusia lebih 100 tahun di Kampung Railway di Sentul Pasar, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Semuanya bermula apabila syarikat itu, selepas mendapat perintah mahkamah awal tahun ini, meminta pihak kuil Arulmigu Nagamman berpindah bagi memberi ruang kepada pembinaan projek pangsapuri 21 tingkat yang kini giat berjalan.

Kedua-dua pihak kemudian mengadakan rundingan namun difahamkan gagal mencapai kata sepakat.

Pada 18 Disember, pihak syarikat memulakan proses perobohan namun ia tidak dapat diteruskan apabila pemimpin MIC tempatan campur tangan.

Ketika itu, Setiausaha Eksekutif MIC AK Ramalingam melawat ke lokasi dan menyatakan rasa terkejut dan kecewa dengan tindakan perobohan.

Ramalingam juga mendakwa tindakan syarikat itu tidak adil kerana menurutnya rundingan masih berjalan dengan pihak pengurusan kuil.

Dia turut mempersoalkan ketiadaan wakil kerajaan ketika perobohan dibuat.

Bagaimanapun, Saraswathy dalam satu majlis di Seremban pada hari yang sama mendakwa kegagalan dua timbalan menteri wilayah persekutuan pentadbiran sebelum ini, iaitu Saravanan sendiri (2008-2013) dan J Loga Bala Mohan (2013-2018) adalah punca kuil itu tidak dapat diselamatkan.

"Isu kuil itu bermula sejak 2007. Saravanan dan Loga Bala Mohan selaku timbalan menteri gagal selesaikan isu tanah dalam tempoh itu dan menjadi ia masih berlanjutan," dakwa Saraswathy.

Saravanan dalam kenyataan balas mendakwa Saraswathy sebagai tidak sesuai untuk berada dalam kementerian perpaduan dan menegaskan kuil itu dirobohkan ketika pentadbiran sekarang.

"Saya minta dia baca semula sejarah kuil ini. Isu tanah kuil ini telah bermula sejak 1997. Semasa saya jadi timbalan menteri wilayah persekutuan, tiada satu kuil pun di Kuala Lumpur dirobohkan.

"Kuil itu dirobohkan di bawah kerajaan sekarang dan siapa perlu bertanggungjawab? Ini bukan masa untuk tuduh-menuduh. Kalau ini perangai timbalan menteri perpaduan maka habislah kementerian itu," katanya.

'Saraswathy pemimpin tepi'

Tidak puas hati dengan kenyataan Saravanan, Saraswathy mengadakan sidang media pada 20 Disember yang menyerang MIC selaku parti komponen BN yang berada dalam kerajaan.

"Saya memberi amaran terakhir kepada MIC agar segera hentikan kerja-kerja boikot terhadap kerajaan.

"Saya minta mereka duduk tepi dan tidak perlu sibuk dengan urusan kerajaan hari ini," katanya.

Saravanan pula membalas dengan berkata MIC setuju untuk bekerjasama dengan Anwar atas permintaan presiden PKR itu sendiri.

Semalam, Saravanan dalam satu video berkata MIC bersetuju mengadakan kerjasama dengan selepas Anwar meminta sendiri.

"Jika mereka fikir kami boikot, maka Anwar sendiri yang perlu beritahu, bukannya Saraswathy.

"Saraswathy minta kami duduk tepi sebab dia merupakan pemimpin 'tepi'. Dulu dia orang MIC tetapi selepas tiada peluang dalam parti, dia tukar kem masuk PKR.

"Dia dijadikan naib presiden PKR dan timbalan menteri atas 'usaha' orang lain, bukan menang dalam pemilihan parti atau PRU," kata Saravanan.

Perseterun antara Saravanan dan Saraswathy memang sudah diketahui. Ia bermula sejak krisis politik MIC yang menyaksikan pertembungan mendiang S Samy Vellu - ketika itu presiden - dengan timbalannya, mendiang S Subramaniam.

Saravanan adalah penyokong kuat Samy Vellu sementara Saraswathy merupakan penasihat undang-undang akhbar Tamil Malaysia Nanban yang berpihak kepada Subramaniam ketika itu.

Mereka turut bertembung pada PRU15 di parlimen Tapah. Saravanan menewaskan Saraswathy dengan perbezaan 5,064 undi.

'Kerajaan perlu bertanggungjawab'

Dalam perkembangan berkaitan, bekas pegawai khas bekas timbalan menteri wilayah persekutuan Edmund Santhara, MU Raja berkata kerajaan PN tidak perlu dikaitkan dengan tindakan perobohan itu.

Malah dia berkata sebanyak 26 kuil telah mendapat kelulusan tanah ketika pentadbiran gabungan itu.

“Edmund dengan kerjasama Saravanan sebagai menteri kabinet menyelesaikan khususnya isu tanah melibatkan rumah ibadat Hindu di Kuala Lumpur.

"Maka, saya percaya tidak adil menuduh kerajaan sebelum ini bertanggungjawab atas perobohan kuil tersebut," katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) S Subramaniam berkata kerajaan sekarang perlu bertanggungjawab atas perobohan kuil Arulmigu Nagamman.

"Jangan salahkan orang lain atas kegagalan sendiri. Isunya kuil sudah dirobohkan, maka apa tindakan selepas ini?

"Kenapa Menteri Wilayah Persekutuan Dr Zaliha Mustafa belum membuat sebarang kenyataan dan timbalan menteri kaum India yang membuat kenyataan bagi pihak kerajaan?

"Bukankah kerajaan ini bagi semua kaum?" soalnya.