Skip to main
Logo Malaysiakini

Muda cadang PAS buat pilihan raya PBT di Kelantan, Pahang

Artikel ini sudah 7 bulan diterbitkan

Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mencadangkan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man menggunakan pengaruhnya agar Kelantan dan Pahang menjadi peneraju dalam pelaksanaan Pilihanraya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), khususnya bagi pelantikan ketua kampung.

Ketua Penerangan Muda Kelantan Abdul Rahman Khaiurddin membuat cadangan tersebut susulan kenyataan Tuan Ibrahim yang mendakwa pilihan raya PBT akan melebarkan polarisasi kaum.

"Kenyataan yang dibuat oleh Tuan Ibrahim berkenaan isu pilihan raya PBT harus kita hormati, namun saya ingin menumpukan perbincangan tersebut kepada negeri kita sendiri.

"Saya ingin mencadangkan kepada Tuan Ibrahim untuk menggunakan pengaruhnya sebagai timbalan presiden PAS dan juga ketua pembangkang DUN Pahang supaya Kelantan dan Pahang menjadi peneraju dalam pelaksanaan pilihan raya PBT, khususnya bagi pelantikan Ketua Kampung," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dia berkata perkara itu amat penting untuk dilaksanakan agar rakyat boleh memilih sendiri ketua kampung mereka, bukannya dilantik oleh "tangan ghaib".

"Selain daripada komuniti kenal siapa ketua mereka, menerusi proses demokratik ini, ia akan memberikan peluang kepada masyarakat setempat untuk tahu amalan sebenar demokrasi serta fungsi Ketua Kampung," katanya lagi.

Semalam, Tuan Ibrahim menyifatkan objektif utama DAP untuk membangkitkan semula cadangan pelaksanaan pilihan raya PBT antaranya untuk menguasai bandar-bandar besar yang menjadi pusat ekonomi rakyat.

Tuan Ibrahim Tuan Man

"Kita perlu tahu, jika pilihan raya PBT diadakan, ia membuka ruang kepada berlakunya polarisasi kaum lebih besar dan ketara antara penduduk bandar dan luar bandar.

"Ia bukan hanya melibatkan penguasaan terhadap hasil-hasil ekonomi sesebuah bandar yang tidak seimbang, malahan juga kuasa politik Melayu-Islam akan terhakis," kata Tuan Ibrahim.

Bagaimanapun Abdul Rahman berkata pelaksanaan pilihan raya tersebut di Kelantan tidak akan menyebabkan polarisasi kaum.

"Di sini (Kelantan) bukan sahaja ada kaum Cina dan India malah kita mempunyai masyarakat Siam yang juga hidup dalam aman dan damai dari dahulu lagi," katanya.

Dia juga memetik kenyataan Pengerusi Bersih Faisal Abdul Aziz, yang menekankan bagaimana pilihan raya PBT boleh diperluaskan bukan sahaja di bandar malah di kampung-kampung.

"Contoh dia berikan adalah pilihan raya ketua kampung dilaksanakan bertujuan membuktikan akauntabiliti dalam masa sama mendidik masyarakat setempat berkenaan proses melantik ketua kampung mereka," kata Abdul Rahman.

Pilihan raya PBT kembali diperkatakan selepas Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan Tan Kok Wai mencadangkan perkara itu pada 17 Disember lalu.

Cadangan itu kemudiannya dibantah sejumlah pihak, termasuk Umno, dengan rata-ratanya berpandangan ia berisiko mencetuskan pergeseran kaum.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa pula berkata masih ada banyak perkara asas yang perlu diberi tumpuan sebelum pelaksanaan semula pilihan raya itu dibincangkan.

Kali terakhir Malaysia mengadakan pilihan raya PBT ialah pada tahun 1963. Bagaimanapun pilihan raya PBT pada tahun berikutnya, telah digantung.

Penggantungan sementara itu kekal pada 1976 apabila Parlimen meluluskan Akta Kerajaan Tempatan, menyaksikan pilihan raya kerajaan tempatan dimansuhkan sama sekali dan hanya memperuntukkan pelantikan ahli majlis tempatan.