Skip to main
Logo Malaysiakini

Hantar anak ke taska: Kesihatan mental ibu penting, kata pakar

Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

Pakar psikologi berpandangan isu menghantar anak ke taman asuhan kanak-kanak (taska) oleh ibu bapa termasuk pada hari cuti tidak boleh dilihat, apatah lagi dihakimi, secara umum.

Pakar psikologi Nur Haritha Abd Rahman berkata mana-mana ibu bapa yang berbuat demikian mempunyai keperluan yang berbeza.

"Kalau ibu bapa mampu dan tiada masalah untuk hantar walaupun hari cuti, kenapa nak buat perkara ini sebagai isu?

“Bagi pandangan saya, me time itu adalah penting, Kita tak boleh terus menghakimi apa mereka buat itu salah," kata Nur Haritha yang berkhidmat di sebuah pusat psikologi di Shah Alam, ketika dihubungi.

Sejak beberapa hari lalu media sosial dipanaskan dengan debat berkaitan keperluan masa sendiri atau “me time” untuk golongan ibu, selepas seorang wanita membangkitkan tindakan sesetengah ibu yang tetap menghantar anak ke taska walaupun hari cuti.

“Sebabnya dia kata dia malas nak layan dan nak ambil waktu cuti ini untuk relax. Kesian gila,” tulis seorang wanita.

Bagaimanapun, ramai yang tampil mempertahankan keperluan seorang ibu untuk meluangkan masa untuk diri sendiri antaranya demi kesihatan mental, rehat dan memperbaiki hubungan dengan suami.


Baca: Hari cuti pun mak-mak nak hantar anak ke Taska?


Mengulas lanjut, Nur Haritha berkata sikap ibu yang mementingkan kesihatan mental adalah perkara yang bagus, termasuk untuk anak mereka.

Katanya, jika tekanan tidak ditangani dengan baik, ia berisiko menjadi lebih teruk dan individu cenderung untuk melepaskan tekanan yang dihadapi terhadap orang lain.

“(Meluangkan masa untuk diri sendiri) adalah perkara yang baik. Jadi mereka tidak lepaskan marah kepada anak seperti sesetengah kita hadapi ketika kecil.

Katanya lagi, ada juga ibu bapa yang tetap menghantar anak ke taska kerana mementingkan kemahiran sosial anak mereka.

Pada masa sama dia menekankan kepentingan perhatian ibu bapa terhadap perkembangan anak sewaktu mereka masih kecil.

“Setiap anak berbeza perwatakan. Ada yang sangat aktif dan ada yang okey. Ada juga yang perlu perhatian,” katanya lagi.