Skip to main
Logo Malaysiakini

Mat Sabu: Andai ahli hilang kompas moral, Amanah berantakan

Artikel ini sudah 7 bulan diterbitkan

Presiden Amanah Mohamad Sabu menasihatkan supaya pemilihan jawatan kepimpinan tertinggi parti itu berlangsung secara sihat dan mengelakkan perpecahan sesama ahli.

“Saya mahu semua perwakilan dan ahli akar umbi parti tahu dan sedar, bahawa parti kita juga terdedah kepada konflik dalaman dan keberantakan, seandainya ahli-ahli juga kehilangan kompas moral dan mula memperjuangkan kepentingan diri atau kelompok tertentu, dalam parti yang kita sayangi ini.

"Bersainglah secara sihat, terbuka, telus dan demokratik ‘Fastabiqul Khairat' (berlumba-lumba berbuat kebaikan).

"Saya mahukan semua peringkat parti, sama ada di peringkat nasional, negeri, sayap Awan, Pemuda, Warda, kawasan sampai ke cawangan, supaya merapatkan saf sejurus selepas pemilihan parti ini selesai.

"Bak kata pepatah Melayu, biduk lalu kiambang bertaut," katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Amjanah Nasional di Klang hari ini.

Pidato presiden ini kemudiannya akan dibahaskan para perwakilan Amanah.

Atur cara konvensyen juga menyaksikan satu taklimat khas berhubung perkembangan semasa situasi di Palestin akan diadakan dengan perkongsian disampaikan oleh wakil daripada Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim).

Ia akan disusuli dengan pembentangan dan perbahasan usul oleh perwakilan sebelum sesi pemilihan bagi Jawatankuasa Pimpinan Nasional Amanah 2023-2026 dijalankan esok.

Kemudian, pemilihan lima jawatan tertinggi termasuk presiden akan berlangsung dalam kalangan 27 Ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional Amanah.

Pemilihan bagi penggal 2023-2026 itu menyaksikan 124 calon telah menyerahkan borang pencalonan, termasuk Mohamad Sabu, dua naib presiden iaitu Mujahid Yusof Rawa dan Adly Zahari serta Dr Zulkefly Ahmad.