Skip to main
Logo Malaysiakini

Amanah tolak ketuanan kaum diskriminasi minoriti

Artikel ini sudah 7 bulan diterbitkan

Amanah menentang politik identiti dan adu domba yang dianjurkan oleh PN, tegas Presidennya Mohamad Sabu.

"Parti Amanah Negara menolak mendiskriminasi kaum minoriti serentak mendominasi pihak minoriti dengan konsep ketuanan kaum...

"Politik identiti mesti ditentang oleh parti Amanah kerana membawa pendekatan politik adu domba, politik Menakut-nakut orang Melayu dan lslam, kononnya Islam terancam dan Melayu terabai," katanya ketika menyampaikan Pidato Presiden pada majlis perasmian Konvensyen Amanah Nasional 2023 di hotel Wyndham Acmar, Klang, hari ini.

Kata Mohamad, pegangan agama secara melampau (ghuluw) yang dipamerkan menunjukkan PN mengabaikan kepelbagaian budaya dan kemajmukan etnik di Malaysia.

Menurutnya lagi, orientasi politik toksik, ekstrem dan jumud yang diamalkan parti pembangkang akan menjerumuskan negara ke dalam konflik berterusan perebutan kuasa politik.

Kata Mohamad lagi, naratif agama dan kaum sering ditunggang dan disalahguna untuk dijadikan modal politik selain amalan 'takfiri' yang mengkafirkan lawan politik.

"Ia sekaligus membawa natijah buruk fenomena serta gejala ‘takfiri’ ini atau mudahnya ‘mengkafir’ lawan politik sebagai tidak Islam atau kurang Islam berbanding mereka," ujarnya.

Dia berkata Amanah memperjuangkan pegangan atau ideologi progresif dan inklusif (terangkum) dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan dan asas-asas yang disepakati dalam PH.

"Justeru, saya yakin Amanah mempunyai peranan masa depan dan potensi yang besar untuk terus mengemudi negara bersama rakan-rakan dalam Pakatan Harapan dan mutakhir ini, dalam kerajaan perpaduan bersama Barisan Nasional.

"Mereka yang benar-benar insaf tentang peri pentingnya kestabilan politik serta keharmonian kaum dan budaya, akan mengambil jalur ‘centrist’, ‘moderat’ dan ‘progresif’ dalam penganjuran ideologi masing-masing," katanya lagi.

Konvensyen turut dihadiri pemimpin kanan kerajaan perpaduan seperti Setiausaha Agung DAP Anthony loke, Naib Presiden PKR Amirudin Shari dan Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil.

Dalam perkembangan sama, kehadiran Setiausaha Agung BN Dr Zambry Abd Kadir dan ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Ahmad Maslan menarik perhatian para perwakilan.

"Tak pernah bermimpi satu hari wakil Umno berada di pentas kita (Amanah)," seloroh Mohamad sambil disambut gelak tawa perwakilan.

Konvensyen Amanah juga mengangkat isu Palestin dengan perwakilan dipertontonkan video mangsa perang di Gaza.

Mohamad mengulangi ketegasan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang menyuarakan bantahan kepada Presiden AS Joe Biden yang menggunakan kuasa veto untuk membantah resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi gencatan senjata di Gaza.

Mohamad sempat mengkritik tindakan negara-negara Arab yang dianggap tidak aktif memainkan peranan dalam membantu rakyat Palestin.

"Negara-negara Arab masih perlahan, tapi negara seperti Afrika dan haluan kiri amat keras dalam menentang pembersihan etnik yang dilakukan Israel," kata Mohamad.