Skip to main
Logo Malaysiakini

Jawatan penasihat: Mat Sabu serah pada j'kuasa pimpinan Amanah

Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

Presiden Amanah Mohamad Sabu menyerahkan kepada barisan Jawatankuasa Pimpinan Nasional yang akan dipilih esok berhubung jika mahu mewujudkan jawatan penasihat untuk bekas presiden, jika parti itu memilih ketua yang baru.

Mohamad juga turut mengulangi pendirian mengenai jawatan presiden dan menyatakan kesediaannya untuk menerima mana-mana individu yang akan dipilih selain dirinya.

"(Perkara) itu terserah kepada 27 ahli jawatankuasa (bersama tiga orang ketua sayap).

"Kita tiada kem...Kalau pilih siapa pun insya-Allah semua ahli akan terima dan akan terus bekerja di bawah pasukan (dipilih) yang akan diumumkan petang esok," katanya pada sidang media selepas majlis perasmian Konvensyen Amanah Nasional 2023 di Klang, Selangor hari ini.

Kira-kira 1,000 perwakilan akan memilih 27 ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional esok.

Tiada pemilihan dibuat untuk lima jawatan tertinggi, iaitu presiden, timbalan presiden dan tiga naib presiden. Sebaliknya, mereka akan dipilih oleh 27 ahli jawatankuasa bersama tiga ketua sayap - Pemuda, Warda (Wanita Muda) dan Awan (Wanita).

Sebelum ini, timbul desas-desus mengenai desakan ahli untuk menukar presiden dengan nama Naib Presiden Mujahid Yusof Rawa disebut sebagai antara calon pengganti Mohamad.

Bagaimanapun, Mujahid sebelum ini senada dengan Mohamad dengan menyerahkan keputusan kepada ahli jawatankuasa untuk memilih individu yang terbaik bagi menerajui parti.