Skip to main
Logo Malaysiakini

PANDUANKINI | Pilihan raya kerajaan tempatan

Artikel ini sudah 6 bulan diterbitkan

Malaysia mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan kali terakhir pada tahun 1963, sebelum ia "digantung".

Puluhan tahun selepas itu, idea untuk mengadakan semula undi ketiga telah dibangkitkan dan ditolak berulang kali atas pelbagai alasan.

Episod terkini menyaksikan pengerusi DAP Kuala Lumpur, Tan Kok Wai, mencadangkan agar pilihan raya tempatan diadakan di Kuala Lumpur, yang mengundang tentangan daripada Umno, Bersatu, dan PAS.

Dalam PanduanKini kali ini, kita akan melihat apakah kerajaan tempatan dan hujah-hujah mengenai pemilihan berbanding pelantikan ahli-ahlinya.

Apa itu kerajaan tempatan dan apa fungsi mereka?

Menurut Akta Kerajaan Tempatan 1976, kerajaan tempatan (atau pihak berkuasa tempatan) merujuk kepada majlis bandaraya, majlis perbandaran, dan majlis daerah. Atau, dalam kes khusus di Kuala Lumpur, ia merujuk kepada datuk bandar itu sendiri.

Perbadanan Putrajaya dan Perbadanan Labuan adalah entiti perbadanan yang ditubuhkan di bawah undang-undang berasingan, tetapi melaksanakan semua fungsi kerajaan tempatan di kawasan masing-masing.

Kerajaan tempatan bertanggungjawab terhadap pelbagai perkara yang boleh memberi impak langsung kepada penduduk tempatan, seperti perancangan bandar, pembersihan dan pencahayaan jalan, penyelenggaraan pokok dan tumbuhan lain di tempat awam, pemberian lesen perniagaan, mengawal persembahan muzik di tempat awam, dan banyak lagi.

Mereka juga mempunyai kuasa untuk meluluskan atau menolak projek pembangunan, atau malah tambahan struktur bangunan.

Siapakah pemegang jawatan dan bagaimana mereka dilantik?

Di Semenanjung Malaysia, majlis bandaraya diketuai oleh seorang datuk bandar, manakala majlis perbandaran dan majlis daerah diketuai oleh seorang Yang Dipertua. Akta Kerajaan Tempatan juga menetapkan bahawa terdapat lapan hingga 24 orang ahli majlis yang perlu dilantik dan berkhidmat selama tiga tahun.

Undang-undang menyatakan mereka dilantik oleh "ketua negeri", bermaksud sultan atau Yang di-Pertua negeri tersebut.

Dalam amalan, datuk bandar dan Yang Dipertua sering dilantik daripada kalangan anggota perkhidmatan awam kerajaan negeri, manakala ahli majlis adalah wakil-wakil yang dilantik yang mewakili parti pemerintah ketika pelantikan dibuat.

Sesetengah ahli majlis juga kemudiannya bertanding dalam pilihan raya negeri dan persekutuan.

Walaupun begitu, sesetengah negeri juga melantik wakil NGO sebagai ahli majlis.

Sebagai contoh, Majlis Bandaraya Pulau Pinang mempunyai 24 ahli majlis termasuk wakil-wakil NGO dari Alumni Sidang Wanita Pulau Pinang, Persatuan Dakwah Islamiah Malaysia, Pertubuhan Penganut Buddha Bersatu Pulau Pinang, dan Liga Muslim Pulau Pinang. DAP memegang 10 kerusi dalam majlis ini, PKR mempunyai lapan, dan Amanah mempunyai dua.

Undang-undang serupa berlaku di Sabah dan Sarawak dengan beberapa perbezaan. Antara lain, ahli majlis di Sabah dilantik oleh menteri kerajaan tempatan dan perumahan negeri dan bukannnya Yang Dipertua Negeri, dan mereka berkhidmat selama dua tahun.

Bagaimana dengan Wilayah Persekutuan?

Datuk Bandar Kuala Lumpur (juga dirujuk sebagai "pesuruhjaya" di bawah Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 dan Akta Bandaraya Kuala Lumpur 1971) dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong untuk tempoh sehingga lima tahun. Individu ini biasanya dipilih daripada perkhidmatan awam.

Tidak ada ahli majlis atau jawatan yang setaraf di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Sebaliknya, Yang di-Pertuan Agong melantik ahli-ahli lembaga penasihat, di mana sekurang-kurangnya dua orang ahli mesti dipilih oleh Sultan Selangor setelah berunding dengan majlis mesyuarat kerajaan negeri.

Datuk Bandar Kuala Lumpur mempunyai kuasa di bawah Seksyen 10 Akta Ibukota Persekutuan untuk tidak mengikut nasihat lembaga penasihat, tetapi hanya selepas berunding dengan menteri wilayah persekutuan. Datuk Bandar juga terikat secara undang-undang untuk mengikut arahan menteri.

Sementara itu, di Perbadanan Putrajaya, presiden dilantik oleh menteri wilayah persekutuan, bersama-sama dengan lima ahli lain.

Tiga daripada lima orang itu adalah pegawai kerajaan persekutuan, dan dua adalah daripada sektor swasta. Mereka berkhidmat untuk tempoh tiga tahun dan boleh dilantik semula.

Menteri Besar Selangor menamakan dua ahli lagi dengan persetujuan Sultan Selangor.

Di Perbadanan Labuan, pengerusi, timbalannya, dan semua empat ahli dilantik oleh menteri kewangan untuk tempoh tiga tahun.

Menteri juga melantik lembaga penasihat yang terdiri daripada tujuh anggota dalam Perbadanan Labuan termasuk pengerusi. Mereka juga berkhidmat selama tiga tahun dan sekurang-kurangnya tiga ahli mesti penduduk di Labuan.

Pilihan raya Kerajaan Tempatan

Menurut laporan 1968 oleh Suruhanjaya Penyiasatan Diraja Mengenai Fungsi-Fungsi Pihak Berkuasa Tempatan di Semenanjung Malaysia Barat (dikenali sebagai Laporan Athi Nahappan sempena nama pengerusinya), pilihan raya perbandaran pertama di negeri-negeri selat (Pulau Pinang, Melaka, dan Singapura) diadakan pada Disember 1857.

Gambar fail, Athi Nahappan.

Pada masa itu, hanya beberapa jawatan ahli majlis dipertandingkan manakala yang lain dilantik. Pilihan raya sepenuhnya diadakan bagi Majlis Perbandaran Georgetown pada 1 Disember 1956.

Sementara itu, dilaporkan bahawa pilihan raya tempatan pertama di Sarawak diadakan pada tahun 1959, dan di Sabah pada 16 Disember 1962.

Penganjuran pilihan raya ini tertakluk kepada undang-undang setiap negeri, oleh itu setiap negeri mempunyai ciri-cirinya yang unik. Sebagai contoh, beberapa negeri membenarkan pertandingan mengikut garis parti, sementara negeri lain melarang perkara itu atas alasan bahawa pilihan raya tempatan harus bebas daripada politik parti.

Peraturan ini diseragamkan di bawah Akta Pilihan Raya Kerajaan Tempatan 1960, yang masih membenarkan kerajaan negeri memutuskan sama ada beberapa atau semua ahli majlis akan dipilih, dan bagaimana ketua kerajaan tempatan dipilih atau dilantik.

Bagaimanapun, pilihan raya yang mengikut peraturan ini hanya diadakan sekali pada tahun 1963 di Terengganu, dan pada tahun 1962 di sebahagian besar Semenanjung Malaysia.

Pilihan raya tempatan seterusnya diadakan pada tahun 1965 dan 1966, tetapi ditangguhkan akibat Darurat (Penangguhan Pilihanraya Tempatan) 1965, dan Darurat (Pindaan) (Penangguhan Pilihanraya Tempatan) 1965. Ini disebabkan oleh konfrontasi Indonesia-Malaysia dari 20 Januari 1963 hingga 11 Ogos 1966.

Walaupun Akta Pilihan raya Tempatan 1960 secara teknikal tidak pernah ditarik balik, dua undang-undang darurat itu masih berkuat kuasa hari ini walaupun pergolakan dengan Indonesia berakhir beberapa dekad yang lalu.

Tambahan pula, Seksyen 15(1) Akta Kerajaan Tempatan yang diwartakan pada Mac 1976 menetapkan bahawa "Peruntukan berhubungan dengan pilihan raya kerajaan tempatan terhenti mempunyai kesan”.

Kerajaan Pulau Pinang telah cuba mengembalikan semula pilihan raya tempatan pada tahun 2012, tetapi usahanya gagal setelah Mahkamah Persekutuan kemudian menolak cabaran negeri itu terhadap Seksyen 15 Akta Kerajaan Tempatan.

Apakah hujah-hujah yang menyokong dan menentang pilihan raya tempatan?

Pertama, pilihan raya itu didakwa ditangguhkan kerana konfrantasi dengan Indonesia. Pada masa laporan Athi Nahappan dikeluarkan, konflik dengan Indonesia telah berakhir tetapi pemberontakan komunis dijadikan alasan untuk menangguhkan pilihan raya tempatan.

Walaupun alasan rasmi diberikan, terdapat juga kepercayaan popular bahawa gabungan Perikatan pada masa itu cuba menafikan peluang parti pembangkang untuk memanfaatkan sokongan mereka di bandar bagi mendapatkan kuasa dalam majlis perbandaran, di mana mereka boleh mengukuhkan sokongan mereka sambil menghalang pelaksanaan dasar-dasar kerajaan negeri.

Seperti yang dapat dilihat terhadap kritikan yang diterima Tan dari DAP, hujah ini masih dihidupkan dengan sentuhan perkauman: Dakwaan bahawa wakil-wakil Cina Malaysia akan "mudah" mendapatkan kuasa di pusat-pusat bandar Malaysia dengan mengenepikan orang Melayu.

Pandangan ini mengenepikan daerah di luar bandar di mana pilihan raya tempatan juga boleh diadakan, dengan mengandaikan pengundi akan mengundi mengikut garis kaum, dan walaupun data bancian menunjukkan populasi Melayu semakin meningkat di bandar dan hampir merupakan majoriti di Kuala Lumpur.

Sebagai perdana menteri dalam kerajaan Pakatan Harapan pada tahun 2018, Dr Mahathir Mohamad adalah antara mereka yang menyebut isu perkauman sebagai alasan untuk tidak mengadakan pilihan raya tempatan.

"Tiada pilihan raya kerajaan tempatan.

"[...] Pilihan raya kerajaan tempatan boleh menyebabkan hasil yang salah. Bandar (kawasan) lain, kawasan luar bandar (kawasan) lain.

"Akan terdapat konflik, yang mungkin menyebabkan perbezaan kaum dan sebagainya. Kami tidak mahu perkara itu berlaku,"katanya

Selama beberapa dekad, penentang pilihan raya tempatan juga menyebut kos pilihan raya sebagai faktor.

Bekas menteri perumahan dan kerajaan tempatan, Reezal Merican Naina Merican mendakwa pada 20 Disember tahun ini kos setiap pilihan raya akan mencecah RM3 juta, justeru menjalankan pilihan raya di seluruh negara boleh memakan kos sehingga setengah bilion ringgit.

Angka yang diberikan dalam jawapan parlimen dua tahun sebelumnya adalah RM2 juta bagi setiap pilihan raya, yang berjumlah RM302 juta bagi semua 151 pihak berkuasa tempatan.

Bekas menteri kesejahteraan bandar, perumahan dan kerajaan tempatan Abdul Rahman Dahlan pada tahun 2015, mendakwa langkah melantik ahli majlis membolehkan "pentadbiran yang lancar oleh kerajaan negeri dan kerajaan tempatan".

Dengan memberikan contoh isu seperti banjir, katanya sistem semasa membolehkan kerajaan negeri dan persekutuan memberikan bantuan dengan segera tanpa terhalang oleh keperluan berurusan dengan ahli majlis yang dipilih. Kerajaan negeri juga boleh segera menamatkan perkhidmatan ahli majlis yang tidak menunjukkan prestasi tanpa perlu menunggu pilihan raya.

Menteri-menteri juga mengatakan "keutamaan lain" lebih penting berbanding memperkenalkan semula pilihan raya tempatan.

Pada bulan Januari, Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata keutamaannya adalah untuk memulihkan semula ekonomi dan menjaga isu-isu harian seperti memastikan kemudahan awam terjaga dengan baik, selain merujuk kepada kajian bahawa hanya sedikit rakyat yang mahukan pilihan raya tempatan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata bulan ini dia akan membincangkan pilihan raya tempatan dengan Nga, tetapi "perkara-perkara asas" seperti pengurusan hartanah strata di Kuala Lumpur lebih utama.

Di pihak lain, penyokong pilihan raya tempatan seperti beberapa pemimpin Pakatan Harapan, NGO seperti Bersih, dan persatuan penduduk berpendapat pilihan raya tempatan adalah bahagian penting dalam amalan demokrasi.

Ia menjadikan ahli majlis bertanggungjawab kepada penduduk dan pembayar cukai untuk keputusan yang dibuat mereka, dan bukannya terikat kepada penaung politik mereka.

Ahli majlis yang lebih responsif kepada pengundi mereka juga akan membolehkan ahli Parlimen dan wakil rakyat mengendalikan isu-isu persekutuan dan negeri berbanding terpaksa mengendalikan isu tempatan.

Keadaan lebih mencolok di Kuala Lumpur kerana bandar ini tidak mempunyai ahli majlis atau jawatan yang setara sama sekali, walaupun mempunyai saiz populasi dan bajet yang lebih besar daripada banyak negeri. Oleh itu, penduduk sering beralih kepada Ahli Parlimen (MP) untuk mendapatkan bantuan dalam isu tempatan.

Bagaimana pula dengan Laporan Athi Nahappan?

Jawatankuasa Athi Nahappan mengadakan siri pendengaran awam dan tertutup di seluruh Semenanjung Malaysia antara Oktober 1965 dan Ogos 1966 mengenai cara kerajaan tempatan sepatutnya berfungsi.

Laporan 347 muka surat bertarikh Disember 1968 itu menjadi asas kepada Akta Kerajaan Tempatan yang masih berkuat kuasa hari ini. Namun, cadangan untuk memulihkan pilihan raya tempatan tidak dipedulikan.

Jawatankuasa itu menolak pandangan bahawa pilihan raya tempatan akan menjadi "demokrasi berlebihan" yang terlalu mahal untuk Malaysia. Sebaliknya, ia melihatnya sebagai cara untuk memupuk amalan demokratik.

"Kerajaan tempatan, sama ada di ibu negeri atau di mana-mana sahaja, adalah tadika demokrasi. Ia adalah kerajaan yang paling dekat dengan rakyat. Demokrasi akar umbi ditanamkan di sini.

"Jika demokrasi difahami oleh rakyat pada peringkat ini dan mereka mengambil bahagian dalam pelaksanaannya, mereka akan memahaminya dengan lebih baik di peringkat negeri dan pusat," kata laporan itu.

Laporan itu mencadangkan bahawa semua ahli majlis perbandaran perlu dipilih.

Bagi majlis daerah, ia berkata kerajaan negeri harus mempunyai hak prerogatif untuk mencalonkan ahli majlis jika difikirkan perlu untuk memastikan perwakilan minoriti mencukupi, serta perwakilan untuk kepentingan tertentu seperti perdagangan, budaya, profesion, kesatuan sekerja dan sukan.

Ini kerana penduduk luar bandar selalunya mono-etnik, manakala perwakilan yang lebih pelbagai dianggap wajar.

Ahli majlis yang dicalonkan sedemikian tidak boleh melebihi satu pertiga daripada keahlian majlis, yang kebanyakannya adalah ahli yang dipilih.

Datuk Bandar atau Yang Dipertua Majlis hendaklah dipilih sendiri di kalangan ahli majlis.

Menyedari potensi konflik antara kerajaan negeri dan kerajaan tempatan, ia berkata perlu ada undang-undang yang memaksa pihak berkuasa tempatan mematuhi arahan kerajaan negeri mengenai perkara melibatkan kepentingan negara atau negeri.