Skip to main
Logo Malaysiakini

Banjir: 'Baru balik dari PPS, nampaknya kena pindah semula'

Artikel ini sudah 6 bulan diterbitkan

Hampir 10 kampung di Chenulang di Kuala Krai, mula dinaiki air awal pagi tadi berikutan hujan lebat berterusan sejak semalam.

Penduduk, Mohd Riduan Jusoh, 39, berkata air mula naik di sekitar rumahnya kira-kira 1 pagi sehingga paras paha menyebabkan dia terpaksa menggunakan perahu untuk melakukan rutin harian.

"Saya sekeluarga baru sahaja pulang dari pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Chenulang minggu lepas dan bersihkan sekitar rumah.

"Sekarang saya kena berjaga-jaga sekiranya air naik lagi tinggi, saya tidak teragak-agak untuk pindah ke PPS semula kerana bimbang akan keselamatan diri dan keluarga," katanya ketika ditemui Bernama di Kuala Lumpur hari ini.

Sementara itu, penduduk dari Kampung Enggong, Jemellah Mamud, 64, berkata rumahnya telah dinaiki air sebanyak empat kali tahun ini kerana terletak di kawasan rendah, justeru semua barangan perabot dan peralatan elektrik diletakkan di tempat yang tinggi.

"Pukul 2 pagi tadi air dah mula masuk ke dalam rumah dan setiap kali musim hujan berlaku, saya tidak boleh tidur nyenyak kerana tahun ini sahaja sudah empat kali rumah saya dinaiki air," katanya.

Tinjauan Bernama di kawasan sekitar kampung berkenaan hari ini juga mendapati beberapa penduduk telah mula mengalihkan kenderaan ke kawasan yang lebih tinggi dan selamat bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran hujan sangat lebat berterusan (tahap bahaya) di seluruh Terengganu dan Kelantan serta beberapa lokasi di Pahang hingga esok.

- Bernama