Skip to main
Logo Malaysiakini

Amanah desak kerajaan banteras perbuatan 'takfiri'

Artikel ini sudah 6 bulan diterbitkan

Perwakilan Parti Amanah Negara (Amanah) hari ini meluluskan usul agar pemikiran "takfiri" iaitu perbuatan seseseorang yang mudah menuduh orang lain keluar daripada Islam (kafir) dalam kalangan individu dan parti politik, dibanteras sepenuhnya daripada berleluasa di negara ini.

Usul yang dibawa perwakilan Amanah Kawasan Kubang Pasu Asri Bahrom itu diterima sebulat suara pada Konvensyen Nasional Amanah yang dihadiri hampir 1,000 perwakilan di Klang.

Asri ketika membentangkan usul berkenaan turut mengemukakan empat langkah untuk menangani pemikiran berkenaan yang mengkafirkan sesama umat Islam sehingga menimbulkan perbalahan dalam kalangan rakyat di Malaysia.

Beliau berkata empat langkah itu termasuk mendesak kerajaan persekutuan, pihak berkuasa agama dan agensi berkaitan di negara ini agar mengambil tindakan tegas dan keras terhadap individu atau parti politik yang secara terang-terangan menyebarkan serta membawa fahaman takfiri.

"Saya mendesak agar parlimen mengkaji semula atau menggubal undang-undang serta akta yang boleh menjadi punca kuasa melaksanakan penguatkuasaan berkaitan penyebaran pemahaman itu.

"Saya juga meminta Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi merangka kurikulum yang memberi kefahaman dan pengetahuan yang betul berkaitan perkara yang merosakkan akidah ini," katanya.

Untuk tujuan itu, beliau juga meminta kerajaan agar melibatkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan pihak-pihak berkepentingan untuk turut serta dalam proses penggubalan dasar dalam menangani masalah takfiri.

Sementara itu, semasa sesi perbahasan, perwakilan Kuala Pilah Khairul Azidi turut mencadangkan agar Perintah Kawalan Politik (PKP) dilaksanakan terhadap pihak-pihak yang membawa pemikiran takfiri supaya perbuatan itu dapat dihalang seterusnya memelihara kesucian agama Islam.

Usul RUU antikebencian kaum dan agama

"Wabak takfiri ini lebih bahaya daripada Covid-19 yang membuatkan Islam terancam serta lebih parah menyebabkan masyarakat (solat) berjemaah satu kampung tetapi dua imam. Kerajaan mesti melaksanakan PKP dan hentikan golongan yang berlagak seolah-olah memegang kunci syurga dan neraka," katanya.

Wakil Angkatan Wanita Amanah Nasional (Awan) Soraya Salim ketika perbahasan usul itu pula mahu kerajaan segera membentangkan Rang Undang-Undang Antikebencian Kaum dan Agama yang telah tertangguh sekian lama bagi membendung fahaman takfiri dan ekstremisme di dalam negara yang majmuk.

“Rang undang-undang ini ialah satu undang-undang komprehensif yang kita lihat tidak bersikap drakonian tetapi lebih bersifat untuk mengawal dan mewujudkan suasana kondusif untuk iklim politik di Malaysia,” katanya.

Pada konvensyen hari ini, Amanah turut meluluskan tiga usul lain iaitu mendesak kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memulakan proses persempadanan semula menjelang Pilihan Raya Umum ke-16, menggesa kerajaan segera meluluskan Rang Undang-undang Profesion Pekerja Sosial dan solidariti bersama rakyat Palestin.

- Bernama