Skip to main
Logo Malaysiakini

Mat Sabu: P'raya PBT mesti menang-menang, semua kaum rasa selamat

Artikel ini sudah 6 bulan diterbitkan

Presiden Amanah Mohamad Sabu hari ini berkata sebarang cadangan untuk menghidupkan semula pilihan raya kerajaan tempatan mesti menghasilkan keputusan "menang-menang" untuk semua kaum.

Dalam ucapan penggulungan Konvensyen Nasional Amanah, Mohamad berkata kajian lebih mendalam perlu dilakukan untuk mencapai hasil yang diinginkan.

"Mesti ada win-win. Ertinya semua kaum rasa puas hati, semua kaum rasa selamat," katanya kepada perwakilan Amanah di Wyndham Acmar Hotel, Klang.

"Tetapi kena hati-hati supaya tidak berlaku mana-mana kaum yang tercicir bila ada pilihan raya PBT," katanya lagi.

Mohamad berkata antara perkara yang perlu diambil kira termasuk bagaimana individu yang menang akan menjalankan tanggungjawab mereka.

"Kalau dipilih oleh rakyat, mereka kena kerja betul-betul untuk rakyat. Bukan untuk kepentingan ketua parti.

"Sekarang kalau nak dilantik (jadi) ahli majlis, kena 'lobi' ketua parti. Kalau rakyat yang memilih, mereka kena ambil hati rakyat," katanya lagi.

Pada minggu lalu, Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan Tan Kok Wai menyarankan pemulihan pilihan raya majlis tempatan - yang digantung secara kekal sejak 1976 - telah mencetuskan bantahan bukan sahaja daripada pembangkang PN tetapi juga Umno yang menjadi sebahagian parti dalam kerajaan.

Pengkritik mendakwa pilihan raya majlis tempatan akan membawa kepada ketidakstabilan kaum kerana orang Melayu dilaporkan akan kehilangan kuasa dalam pemilihan tersebut.

Terdapat 151 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara, dengan 19 darinya berstatus majlis bandar raya atau dewan bandar raya.