Skip to main
Logo Malaysiakini

Mat Sabu kekal presiden Amanah, Mujahid jadi timbalan

Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

Barisan ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional Amanah yang baru memutuskan untuk melantik semula Mohamad Sabu sebagai presiden parti itu.

Sementara itu, bekas menteri Mujahid Yusof dilantik sebagai timbalannya.

Dia menggantikan Allahyarham Salahuddin Ayub yang meninggal dunia pada Julai lalu.

Tiga naib presiden yang dilantik adalah Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad, bekas Ahli Parlimen Kota Raja Dr Siti Mariah Mahmud dan Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari.

Siti Mariah dan Adly merupakan penyandang jawatan itu manakala Dzulkefly ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional ketika penggal sebelumnya.

Dalam ucapannya, Mujahid menegaskan tangungjawab utamanya bersama-sama Mohamad adalah untuk membawa Amanah ke barisan depan politik.

"Kita perlu dihormati oleh kawan dan juga lawan," katanya.

Sementara itu, Mohamad berkata dia maklum tidak pernah menjadi pilihan paling popular dalam kalangan perwakilan, namun perbincangan antara ahli jawatankuasa telah membawa kepada pelantikannya untuk penggal ketiga, yang juga terakhir.

Dia juga mengingatkan ahli parti yang sebelum PRU16 diadakan - paling lewat 2028 - seorang presiden baru mesti dilantik.

"Pemimpin akan datang perlu berusaha menguatkan gabungan kita kerana sebarang keretakan akan menyebabkan masalah kepada Amanah," katanya lagi.