Skip to main
Logo Malaysiakini

'Beri kuasa pada lembaga penasihat DBKL, alternatif pilihan raya PBT'

Artikel ini sudah 6 bulan diterbitkan

Setiausaha politik kepada Perdana Menteri, Azman Abidin mencadangkan ahli lembaga penasihat DBKL diberi kuasa eksekutif untuk membuat keputusan.

Azman berkata pemerkasaan lembaga penasihat DBKL boleh menjadi alternatif kepada pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) dan menjadi semak dan imbang dalam soal pentadbiran Kuala Lumpur.

Katanya, dia menghormati cadangan Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan Tan Kok Wai agar pilihan raya PBT dilaksanakan.

"Walaupun ahli wakil di Kuala Lumpur dipilih oleh rakyat, mereka tiada kuasa dalam membuat keputusan di DBKL yang mentadbir Kuala Lumpur.

"Mereka fikir suara mereka tidak laku jika dibandingkan dengan kuasa eksekutif dimiliki DBKL. Jadi mereka mcadangkan pilihan raya PBT diadakan untuk semak dan imbang kuasa eksekutif dalam soal pentadbiran Kuala Lumpur.

"Namun dengan memberi kuasa eksekutif kepada ahli lembaga penasihat, ia boleh menjadi alternatif kepada pilihan raya PBT," katanya kepada Malaysiakini.

Azman Abidin

Azman sebelum ini bertangunggjawab membantu Anwar dalam hal-hal berkaitan wilayah persekutuan sebelum portfolio itu dikembalikan dan kini dipegang Dr Zaliha Mustafa.

Seramai 12 ahli boleh dilantik ke dalam lembaga penasihat DBKL. Seramai 10 ahli dicalonkan perdana menteri, manakala dua lagi oleh Sultan Selangor dengan nasihat kerajaan negeri.

Ahli lembaga penasihat merupakan lembaga berfungsi memberi nasihat kepada datuk bandar mengenai pentadbiran Kuala Lumpur.

Namun, berdasarkan Seksyen 10 Akta Ibu Kota Persekutuan 1960, datuk bandar Kuala Lumpur boleh membuat keputusan bertentangan dengan lembaga pengarah, namun hanya selepas berbincang dengan menteri wilayah.

Datuk bandar juga terikat dengan undang-undang untuk menerima arahan daripada menteri tersebut.

Mengulas lanjut, Azman berkata cadangan yang diutarakannya itu boleh menjadi langkah pertama ke arah pilihan raya PBT di masa akan datang.

Selain itu, dia juga mencadangkan selain 12 ahli lembaga sedia ada, setiap ahli parlimen di Kuala Lumpur - kerajaan dan juga pembangkang - diberi kuasa untuk melantik seorang ahli bagi mewakili kawasan mereka.

"Setiap ahli lembaga penasihat ini perlu diberi kuasa eksekutif dan diberi tanggungjawab portfolio jabatan-jabatan dalam DBKL.

"Dengan itu, setiap wakil rakyat mempunyai suara mereka di DBKL," katanya lagi.

Dia berkata langkah itu boleh dilaksanakan dengan meminda Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 yang tidak memerlukan majoriti dua pertiga.

Terdahulu, cadangan Tan yang juga ahli parlimen Cheras mengundang bantahan sejumlah pihak, antaranya PN dan Umno. Kebanyakan bantahan membangkitkan risiko pergeseran kaum, dengan dakwaan orang Melayu akan hilang kuasa di kawasan bandar.

Kali terakhir Malaysia mengadakan pilihan raya PBT pada 1963 dan berdepan penggantungan pada tahun berikutnya.

Penggantungan itu, yang sepatutnya bersifat sementara, namun dikekal pada 1976 apabila Parlimen meluluskan Akta Kerajaan Tempatan, yang memansuhkan pilihan raya PBT dan hanya memperuntukkan pelantikan ahli majlis.