Skip to main
Logo Malaysiakini

'Saya juga buat wajik, dodol' - wanita 100 tahun kongsi kenangan Krismas

Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

Menginjak usia 100 tahun, Evelyn Lowe masih mampu mengingati setiap detik kehidupannya dengan baik terutama menjelang sambutan Krismas setiap tahun.

Menetap di Perkampungan Portugis di Ujong Pasir di Melaka, dia berkata wajik dan dodol antara juadah akan disediakannya di samping kari debal, chap chai, chilie pickle atau acar cili dan beberapa jenis kek yang dibuat sendiri sebagai simbolik meraikan perayaan.

“Sama seperti orang Islam meraikan Hari Raya, saya akan buat sendiri wajik dan dodol untuk dijamu kepada tetamu yang bertandang.

“Namun, atas faktor usia serta pernah cedera di pinggang kerana jatuh kerusi beberapa tahun lepas, saya tidak lagi memasak juadah-juadah berkenaan,” katanya kepada pemberita di malam tadi.

Ibu kepada 10 anak itu berkata, perayaan Krismas juga disambut secara sederhana pada setiap tahun kerana anak-anaknya juga sudah berusia dan tinggal berjauhan.

Evelyn berkata anak-anaknya tinggal di Sabah, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan ada juga yang telah berhijrah ke Singapura dan Australia.

“Suami meninggal dunia kira-kira 35 tahun dahulu dan dua anak lelaki saya juga telah meninggal dunia beberapa tahun.

“Kerana faktor umur dan kesihatan, anak-anak lain juga tidak pulang menyambut Krismas kali ini. Mereka ada meminta saya untuk tinggal bersama mereka namun saya memilih untuk tinggal di sini dan mereka mengupah jururawat untuk menjaga saya,” katanya.

Mengimbas kenangan ketika mereka sekeluarga masih bersama-sama, Evelyn berkata dia dan pasangannya mendiang Maurice Lowe, akan memulakan sambutan perayaan dengan pergi ke gereja berhampiran rumah sebelum ke gereja utama St. Peter’s di Jalan Bendahara.

Katanya, mereka sekeluarga kemudiannya akan menjamu selera dengan hidangan yang disediakannya termasuklah wajik dan dodol.

Ditanya mengenai rahsia dirinya masih mempunyai ingatan kuat dan kesihatan yang masih baik, dia berkata kehidupan zaman dahulu tanpa bantuan teknologi menyebabkannya masih sihat.

“Kalau ke hospital, doktor terkejut apabila mendapat tahu saya telah mencecah usia 100 tahun dan masih mampu mengingati bahasa Portugis dengan baik, mereka suka menguji daya ingatan saya.

“Masyarakat dahulu banyak berjalan kalau nak ke mana-mana… mungkin itu antara penyebab saya masih sihat sampai sekarang kecuali kecederaan di pinggang ini,” katanya.

-Bernama