Skip to main
Logo Malaysiakini

Sekolah komuniti di Semporna: Perlu perbincangan rentas kementerian - KPM

Artikel ini sudah 6 bulan diterbitkan

Kementerian Pendidikan (KPM) akan berbincang dengan kementian lain dan agensi berkaitan berkenaan sama ada untuk membenarkan Iskul Sama Dilaut Omadal - sekolah yang dikendalikan NGO di Pulau Omadal, Semporna - meneruskan operasinya atau tidak.

Ia susulan polemik yang timbul berkenaan kewujudkan sekolah tersebut yang dibantah sesetengah pihak.

KPM berkata pihaknya telah menerima permohonan daripada Persatuan Pendidikan Bajau Laut untuk menubuhkan institusi pendidikan swasta dalam kategori Pusat Bimbingan Alternatif (PBA) pada 30 Oktober 2023.

"PBA adalah satu inisiatif kemanusiaan oleh kerajaan untuk pendidikan kepada kanak-kanak pelarian bagi menyediakan kanak-kanak tersebut untuk penghantaran ke negara ketiga.

"Penubuhan PBA tertakluk kepada ketetapan kerajaan dengan mengambil kira aspek pematuhan undang-undang dan peraturan berkaitan pelarian iaitu Arahan Majlis Keselamatan Negara No. 23 - Dasar dan Mekanisme Pengurusan Pelarian dan Pemohon Suaka (Semakan 2023) serta keselamatan negara.

"Susulan itu, KPM juga mengambil kira pandangan kementerian serta agensi lain yang berkaitan sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut sama ada memberikan kebenaran,” kata KPM dalam kenyataan, hari ini.

pengoperasian Iskul Sama Dilaut Omadal yang mana tertakluk kepada keputusan dasar Kerajaan," kata KPM dalam kenyataan hari ini.

Antara agensi yang terlibat, menurut KPM, adalah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), polis dan Jabatan Imigresen.

KPM berkata pihaknya turut meneroka alternatif lain untuk sekolah itu, antaranya untuk mendaftarkannya sebagai sekolah bimbingan jalinan kasih (SBJK).

SBJK adalah program bawah KPM yang menyediakan pendidikan formal antaranya kepada kanak-kanak tanpa dokumen, gelandangan atau yatim piatu yang tinggal di pusat jagaan yang berdaftar.

Semalam, CSO Platform for Reform (Sabah) dan Iskul Sama Dilaut Omadal dalam kenyataan bersama menggesa kerajaan untuk melaksanakan komitmennya menyediakan pendidikan kepada semua kanak-kanak.

Mereka menggesa kerajaan melindungi dan menyokong ruang pendidikan alternatif untuk kanak-kanak, susulan satu hantaran Facebook yang menyuarakan bantahan terhadap sekolah kendalian Iskul Sama Dilaut Omadal baru-baru ini.

Iskul Sama Dilaut Omadal ditubuhkan pada Ogos 2015 dan membantu 150 isi rumah tanpa kewarganegaraan di Pulau Omadal, dengan menyediakan makanan dan pendidikan asas kepada kanak-kanak dan akses kesihatan asas kepada penduduk di sana.