Skip to main
Logo Malaysiakini

Piket bermula, lebih 100 berarak untuk 'kepung' kedutaan AS

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Lebih 100 orang mula berarak dari Menara TH Tun Razak ke Kedutaan AS di Kuala Lumpur bagi menyertai piket selama enam hari sebagai tanda solidariti terhadap Palestin.

Kumpulan itu melaungkan “Bebas, bebas! Bebas Palestine” dan “from the river to the sea, Palestine will be free”, sambil membawa bendera Palestin dan bendera Malaysia bersama sepanduk bertulis “Kedutaan AS adalah sarang pengganas”.

Dianggarkan 30 anggota polis dilihat mengawasi piket itu, dengan tujuh kenderaan polis berbaris di tepi jalan di Jalan Tun Razak.

Sebuah kenderaan black maria juga dilihat menghalang laluan menuju ke kedutaan AS, dengan beberapa anggota polis ditempatkan di situ.

Antara pemimpin parti yang hadir ialah Timbalan Ketua Pemuda MCA, Mike Chong Yew Chuan; Setiausaha Agung Muda, Amir Hariri Abd Hadi; bekas Ahli Parlimen Batu Tian Chua - yang juga sebahagian daripada Sekretariat Solidariti Palestin, Bendahari Pemuda Amanah, Sheikh Khuzaifah Sheikh Abu Bakar dan Ketua Penerangan Pemuda PAS, Khairul Nadzir Helmi Azhar.

Bagaimanapun, peserta piket dihalang oleh polis kira-kira 200 meter dari kedutaan.

Ketua Polis Kuala Lumpur Allaudeen Abdul Majid berkata pihak polis tidak menerima sebarang notis daripada penganjur untuk mengadakan ‘kepungan’ di hadapan kedutaan AS.

Allaudeen berkata pihak polis bersimpati dan menyokong perjuangan rakyat Palestin, namun mereka bertanggungjawab untuk memastikan ketenteraman awam dan keselamatan perwakilan-perwakilan asing di negara ini.

Bagaimanapun sekretariat berkenaan tetap mendirikan lima khemah di Jalan Tun Razak, iaitu di bawah jejambat pejalan kaki yang bertentangan dengan menara The Icon.

Solidariti di hadapan kedutaan AS itu diadakan bagi menuntut supaya pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin dihentikan dan gencatan senjata dilakukan segera.

Ia juga diadakan sebagai tindak balas terhadap usaha berterusan AS memveto resolusi Majlis Keselamatan PBB agar gencatan senjata segera dilakukan di Gaza.

Himpunan itu membabitkan sebanyak 48 badan bukan kerajaan (NGO) yang terdiri daripada organisasi masyarakat sivil, kesatuan mahasiswa dan parti politik.