Skip to main
Logo Malaysiakini

Puad: Adakah Dr M rasa tersinggung SPRM siasat Daim?

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Ahli Majlis Tertinggi Umno Mohd Puad Zakarshi tertanya-tanya sama ada terdapat sesuatu di sebalik kenyataan Dr Mahathir Mohamad baru-baru yang mencadangkan individu bergelar Tun disiasat.

"Apakah Tun M (Mahathir) menyindir SPRM kerana menyita menara Ilham milik Tun Daim (Daim Zainuddin)?

"Atau Tun M tersinggung?Atau tercabar seolah-olah selepas ini giliran beliau pula (disiasat)?” katanya dalam catatan Facebook.

Puad juga berkata walaupun tiada keperluan untuk menyiasat individu hanya kerana bergelar Tun semata-mata, kerana menurutnya apabila ada siasatan, tiada seorang pun yang harus dikecualikan.

“Semua orang mesti disiasat termasuk anak, menantu dan kawan rapat,” tambahnya.

Puad juga menyatakan bahawa semasa kali kedua Mahathir sebagai perdana menteri, tindakan undang-undang telah dimulakan terhadap beberapa pemimpin Umno seperti bekas perdana menteri Najib Razak dan bekas pengerusi Felda Shahril Samad.

Shahrir, yang dibebaskan atas kes pengubahan wang haram, kini menyaman bekas peguam negara Tommy Thomas, bekas ketua pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya, SPRM dan kerajaan atas tuduhan pendakwaan yang berniat jahat.

Puad juga mendakwa bahawa ketika Mahathir menjadi perdana menteri, dia mengamalkan "dakwa dulu, cari bukti kemudian".

"Tetapi eloklah SPRM guna dokumen tulen untuk cari bukti, buat siasatan rapi, jangan guna buruk sangka dan arahan dendam untuk mendakwa,” tambahnya.

Berikutan berita tentang Daim, yang juga seorang Tun dan rakan rapat Mahathir, sedang disiasat, Mahathir berkata bahawa "syak wasangka sahaja sudah memadai" untuk memulakan tindakan terhadap individu bergelar Tun.

“Saya bersetuju sepenuhnya bahawa Tun perlu disiasat. Jika mereka tidak dapat menjelaskan di mana atau bagaimana mereka mendapat wang itu, harta mereka harus disita.

“Tun bukan sahaja perlu disiasat. Mereka juga perlu direman sehingga mereka mendedahkan sumber wang mereka.

"Jika mereka tidak berbuat demikian, ia pasti kerana mereka mahu menyembunyikannya,” katanya sinis.

Daim hari ini menyifatkan dia menjadi sasaran kempen politik dan mengecam Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki.