Skip to main
Logo Malaysiakini

Alliance Bank tawar bantu pelanggan, peniaga terjejas banjir

Artikel ini sudah 6 bulan diterbitkan

Alliance Bank Malaysia Bhd telah menawarkan program bantuan banjir untuk meringankan beban kewangan pelanggan dan perniagaan yang terjejas akibat banjir di beberapa negeri di Malaysia.

Bank berkenaan dalam kenyataan hari ini berkata langkah bantuan itu termasuk menawarkan moratorium pinjaman sehingga enam bulan, pengubahsuaian bayaran balik pinjaman serta pengecualian bayaran fi dan caj untuk semua pinjaman konvensional dan kemudahan pembiayaan Islam.

Selain itu, katanya fi dan caj bagi perkhidmatan terpilih seperti penggantian semula kad debit, kad ATM, buku cek dan buku simpanan yang telah hilang atau musnah semasa banjir akan turut dikecualikan.

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Kellee Kam dalam kenyataan sama berkata Alliance Bank memahami tekanan emosi dan kewangan yang dialami oleh keluarga dan perniagaan yang terjejas banjir.

“Kami berharap supaya bantuan kewangan akibat banjir ini akan membantu meringankan kebimbangan mereka dari segi kewangan,” katanya.

Bank itu menjelaskan ia turut menawarkan bantuan kepada pekerjanya yang terjejas banjir untuk menempuhi tempoh yang sukar ini.

Bantuan berikutan banjir ini dibuka untuk permohonan berkuat kuasa serta-merta sehingga 26 Jan 2024.

Pelanggan yang terjejas boleh menghubungi pusat panggilan bank di talian 03-5516 9988 atau pengurus perhubungan mereka untuk membincangkan pakej bantuan yang memenuhi keperluan masing-masing.

- Bernama