Skip to main
Logo Malaysiakini

Jangan tutup perbincangan intelektual, kata Ti pada Umno

Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

Bekas timbalan menteri perpaduan negara Ti Lian Ker menggesa Umno agar berbincang secara baik berhubung cadangan melantik pakar perlembagaan dari kalangan bukan Islam dalam Jawatankuasa Mengkaji Bidang Kuasa Mahkamah Syariah.

Ti berkata perbincangan berkenaan perkara itu perlu dibuat dalam semangat sebuah negara majmuk.

"Kita perlu terus melibatkan diri dalam wacana, mengamalkan perbincangan intelektual dan menerima keterangkuman.

"Ada ahli politik yang menetuskan kontroversi mutakhir ini, menukar haluan perbincangan dan mengherotkan apa yang dibincangkan untuk mencetuskan kontroversi.

“Trend membangkitkan kemarahan dan menutup perbincangan intelektual ini adalah ancaman sebenar kepada negara," katanya dalam kenyataan kepada Malaysiakini.

Ti mengulas kritikan Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki terhadap pemimpin cadangan pemimpin DAP Ngeh Koo Ham agar pakar perlembagaan dari kalangan bukan Islam dilantik ke dalam jawatankuasa itu.

Asyraf menyifatkan cadangan itu "tidak berpijak di bumi nyata" dan boleh mencetuskan polemik yang tidak perlu dalam sebuah negara dengan rakyat pelbagai kaum dan agama di Malaysia.

Asyraf Wajdi

Ti berkata "kenyataan" sebenar adalah Malaysia diasaskan berdasarkan toleransi dan semangat kepelbagaian.

Namun, katanya, pada 1970-an ahli politik mengubah hala tuju negara kepada "satu bangsa, satu bahasa dan satu negara".

"Pada 1980-an dan 1990-an, politik Islam semakin meningkat dan ahli politik menggunakan agama, dengan Umno cuba bersaing dengan PAS dan ada banyak perkembagan positif seperti (penubuhan) Universiti Islam Antarabangsa, Bank Islam dan sebagainya.

"Namun ada juga kesan negatif ekoran radikalisme," katanya.

Dia berkata atas semangat kepelbagaian dan keterangkuman, rakyat Malaysia perlu memupuk ruang untuk perbincangan berfakta dan mengelakkan kecenderungan politik untuk mendominasi atas nama kaum dan agama.

Ti juga mengulas kenyataan Asyraf bahawa mahkamah syariah dikhususkan untuk orang Islam dan tidak pernah menceroboh hak bukan Islam.

Menurutnya, ada kes di mana cara hidup orang bukan Islam diganggu oleh penguatkuasa agama.

"Ini menyebabkan Umno dan sekutu mereka hilang sokongan pengundi bukan Islam dan masyarakat Sabah dan Sarawak.

"Dengan Umno kini menjadi rakan junior kepada DAP dan PKR yang diundi untuk mengembalikan negara ini ke haluan sederhana dan majmuk, kesilapan sama ini tidak boleh diulang," katanya lagi.

Justeru, dia menggesa tadbir urus yang inklusif serta kaedah yang mengambil kira kepelbagaian kaum, termasuk perwakilan minoriti di semua platform agar pandangan golongan itu diambil kira dalam hal ehwal kerajaan, terutama yang melibatkan ahli politik.

"Kami ada keyakinan penuh terhadap Majlis Raja-Raja. Pada masa sama, kita perlu beringat untuk tidak membuat keputusan dalam isu yang di bawah bidang kuasa Majlis Raja-Raja dengan mewujudkan jawatankuasa yang dibayangi politik, atau ahlinya terikat dengan tuan politik mereka," katanya lagi.

[Baca berita asal]