Skip to main
Logo Malaysiakini

Rafizi: Pangkalan data Padu takkan tukar pemilikan data peribadi

Artikel ini sudah 6 bulan diterbitkan

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli hari ini berkata sebarang perkongsian data bersepadu dalam Pangkalan Data Pusat (Padu) yang akan dilancarkan tidak lama lagi akan dipermudahkan oleh perjanjian antara semua agensi berkaitan.

Rafizi berkata pemilikan data peribadi individu juga kekal dikawal oleh undang-undang yang mengawal setiap agensi atau jabatan.

"Pemunya atau pemilik data ini telah ditentukan oleh akta-akta.

"Jadi dari segi tuan punya data adalah agensi-agensi kerajaan yang diberi kuasa mengikut akta masing-masing.

"Dahulunya, itu lah sebab kita tak boleh nak sepadukan.

“Kerana setiap agensi kata, akta kata, ini data saya punya. Saya tak boleh kongsi dengan siapa-siapa," katanya kepada pemberita selepas taklimat bersama editor media di kementeriannya di Putrajaya,

"Dengan Padu, pemilikan itu tidak berubah. Pemilikan data masih dikawal oleh akta jabatan atau agensi kerajaan masing-masing.

“Apa yang kami sedang lakukan, kami ada perjanjian perkongsian data antara agensi,” jelasnya.

Bukan semua agensi boleh ambil data

Bagaimanapun, dia memberi jaminan bahawa data Padu tidak akan termasuk sebarang bentuk data perbankan yang dikawal selia oleh Akta Perkhidmatan Kewangan.

Di bawah peraturan sedia ada, Rafizi berkata seorang menteri atau ketua pengarah boleh diberi kuasa untuk berkongsi data tertentu, tetapi kerajaan sedang berusaha ke arah merangka "undang-undang omnibus" yang menghubungkan semua akta yang berasingan.

Dia berkata hampir 300 agensi dan jabatan akan menyumbang data kepada pangkalan data pusat yang boleh diakses dalam talian mulai 2 Jan tahun depan dan dibuka untuk pengesahan peribadi selama tiga bulan.

"Bagaimana kita mengendalikan data yang diletakkan bawah peraturan akta-akta itu.

"Walaupun semua agensi menyumbang data pada Padu, bukan semua agensi boleh ambil semua data.

"Bagaimana untuk berkongsi data antara agensi-agensi akan ditentukan kerajaan mengikut used case. Kes kegunaan pertama hanyalah penyasaran subsidi.

"Tidak timbul persoalan data ini akan dikongsikan dengan mana-mana pihak kerana ia melanggar undang-undang," jelas Rafizi.

Dia juga berkata lebih banyak data akhirnya akan disepadukan ke dalam sistem yang dibangunkan, dimiliki dan diselenggara oleh Jabatan Perangkaan Malaysia dengan kos RM2 juta, terutamanya untuk menghasilkan profil isi rumah paling tepat bagi tujuan pengagihan subsidi yang disasarkan.