Skip to main
Logo Malaysiakini

Kes tipu pakej umrah bawah bidang kuasa Motac - Na'im

Artikel ini sudah 6 bulan diterbitkan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na'im Mokhtar menjelaskan isu penipuan pakej umrah yang berleluasa kebelakangan ini bukan di bawah bidang kuasa kementeriannya.

Katanya, semua syarikat atau agensi menawarkan pakej umrah itu tertakluk kepada akta di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac).

"Setakat ini kita menghormati (bidang kuasa), kalau kita lihat akta Motac sedia ada, apa saja urusan berkaitan dengan 'travelling' itu memang bawah kuasa Motac.

"Tak kiralah untuk umrah, itu masih lagi dianggap sebagai percutian, secara umumnya di situ dia tidak melihat kepada aspek keagamaan.

"Agensi pelancongan yang terlibat dalam membekalkan pakej umrah diletakkan di bawah kuasa Motac dan pada saya sendiri pun, Motac sudah ambil tindakan yang sewajarnya," katanya ketika ditemui media di Jerantut, Pahang, hari ini.

Terdahulu, Mohd Na'im menghadiri program penyampaian sumbangan kepada mangsa banjir Pahang di Masjid Tengku Abdullah, Jerantut.

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas berkaitan peningkatan laporan penipuan pakej umrah sejak awal tahun ini yang membabitkan kerugian jutaan ringgit.

Pada 19 Nov lalu, Setiausaha Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasaan Pelancongan Motac, Roslan Mohammad dilaporkan berkata, setakat akhir bulan lalu, sebanyak 62 kes penipuan umrah dilaporkan membabitkan kerugian kira-kira RM2.1 juta.

Kerugian lebih RM6 juta

Katanya, kegiatan penipuan itu mula bertambah sejak sempadan negara dibuka dua tahun lalu, susulan peralihan daripada era pandemik Covid-19.

"Sepanjang tahun lalu, sebanyak 127 laporan polis diterima di seluruh negara dengan nilai kerugian kasar dianggarkan mencecah kira-kira RM6.1 juta," katanya.

Sebelum ini, polis memaklumkan pihaknya menerima 399 laporan berkaitan kes penipuan pakej umrah membabitkan 1,614 jemaah oleh sebuah syarikat pengendali umrah dengan kerugian RM14.2 juta.

Semua laporan polis itu diterima bermula 1 Januari lalu hingga hujung Nov lalu dengan 21 kertas siasatan dibuka merangkumi nilai kerugian RM521,090.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Ramli Mohamed Yoosuf (gambar atas) berkata sebanyak 229 laporan polis sudah pun dirujuk ke Motac dan Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM).

Dalam pada itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada 23 Dis lalu menggesa mangsa penipuan pakej umrah mengemukakan aduan rasmi untuk diperincikan secara teliti.

Menterinya Armizan Mohd Ali (gambar bawah) berkata pihaknya mengambil maklum mengenai gesaan kebanyakan mangsa terbabit untuk mengambil tindakan terhadap syarikat pelancongan yang gagal membayar ganti rugi seperti diminta TTPM.

Mohd Na'im dalam pada itu mengulangi nasihat kepada semua yang ingin mengerjakan umrah untuk melakukan semakan terlebih dahulu bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan.

"Apabila ada aduan dikemukakan kepada Motac, ada agensi pelancongan yang menipu dan sebagainya, mereka akan disenaraihitamkan.

"Mereka yang nak mengerjakan umrah, kena berhati-hati dan mendapatkan maklumat yang jelas dari Motac.

"Kita kena jadi lebih peka supaya kita tidak tertipu dengan agensi pelancongan yang tidak bertanggungjawab ini," katanya.