Skip to main
Logo Malaysiakini

'JK Harmoni perlu kerap mesyuarat bincang isu antara agama'

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Timbalan Setiausaha Agung PKR, Dr Sathia Prakash Nadarajan mencadangkan Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (Harmoni) mengadakan mesyuarat lebih kerap.

Katanya, buat masa ini, jawatankuasa itu tidak begitu aktif dan perlu diperkasakan sehingga menjadi badan penting bagi membincangkan isu-isu berkaitan antara agama.

"Saya faham bahawa ia adalah isu yang kompleks dan sensitif dan setiap agama memiliki pandangan yang berbeza dalam isu-isu melibatkan agama masing-masing.

"Tetapi dengan memberi Jawatankuasa Harmoni peranan utama dalam isu-isu seperti ini, saya berharap agar kebimbangan semua rakyat Malaysia diambil kira tanpa mengira kepercayaan mereka," katanya kepada Malaysiakini.

Dalam pada itu Sathia berkata dia mendukung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah agar rakyat khususnya yang bukan beragama Islam menghormati dan tidak mencampuri hal ehwal agama Islam di negara ini.

Ia susulan cadangan Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham agar pakar perlembagaan dari kalangan bukan Islam dilantik dalam Jawatankuasa Mengkaji Bidang Kuasa Mahkamah Syariah.

Sultan Sharafuddin bertitah bahawa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang dipengerusikan baginda memegang amanah dan tanggungjawab bagi melaksanakan segala hal ehwal berkaitan umat Islam, serta dianggotai barisan pakai dalam pelbagai bidang, khususnya melibatkan undang-undang dan agama Islam.

Ngeh bagaimanapun telah menarik balik cadangan tersebut dan meminta maaf.

"Saya bersetuju dengan tuanku bahawa orang bukan Islam tidak boleh campur tangan dalam hal berkaitan agama Islam.

“Saya juga tidak setuju dengan cadangan pemimpin DAP itu. Tidak sesiapa mempunyai hak untuk mencabar Islam yang merupakan agama rasmi negara ini.

"Namun perlu diingatkan bahawa ada kalanya orang bukan Islam berasa tidak berdaya. Contohnya, dalam kes penukaran agama unilateral kanak-kanak oleh ibu bapa tunggal.

"Hampir setiap tahun kita nampak ada kes penukaran agama kanak-kanak secara unilateral oleh ibu bapa tunggal. Di sinilah Jawatankuasa Harmoni perlu memainkan peranan," kata Sathia.

Tambahnya, Jawatankuasa Harmoni juga perlu dianggotai pakar-pakar perlembagaan pada masa hadapan.

Untuk rekod, Jawatankuasa Harmoni dianggotai 30 ahli terdiri daripada tiga wakil kerajaan, 10 wakil agama Islam, masing-masing empat wakil agama Buddha dan Kristian, serta masing-masing dua wakil agama Hindu dan Taoisme.

Turut serta seorang wakil agama Sikh, agama Baha'i dan daripada Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) Sarawak.

Jawatankuasa itu ditubuhkan pada 14 Ogos 2020 bagi menggantikan Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Antara Penganut Agama (JKMPKA) yang diwujudkan pada 2010 dan berakhir pada 31 Dis 2019.

Jawatankuasa itu diketuai oleh Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Buat masa ini jawatankuasa tersebut bermesyuarat dua kali setahun atau mengikut keperluan dengan terma rujukannya adalah memperkukuhkan iklim perhubungan yang baik

dan mesra dalam kalangan pemimpin dan penganut pelbagai agama.