Skip to main
Logo Malaysiakini

‘Sampai hari ini PM masih Anwar Ibrahim, alhamdulillah’

Artikel ini sudah 6 bulan diterbitkan

Perdana Menteri Anwar Ibrahim memilih untuk tidak 'mengambil pusing' mengenai rancangan sulit yang dinamakan 'Langkah Dubai' untuk menggulingkan kerajaannya baru-baru ini

Sambil mengakui menyedari rancangan seumpama itu, dia sebaliknya berkata, tumpuan kerjaan adalah untuk membangunkan negara.

“Saya ada baca mengenai Langkah Dubai tapi bagi saya kita tumpu soal kerja. 

“Itu kerja mereka bagi saya tidak beri kesan dan yang penting kita sudah mula 2 Januari lancarkan satu program penting bagi rakyat. 

“Tumpuan kita bangunkan negara jaga rakyat.  Sampai hari ini perdana menteri masih Datuk Seri Anwar Ibrahim? Alhamdulillah,” katanya kepada pemberita hari ini selepas melancarkan sistem Pangkalan Data Utama (Padu),  di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini. 

Awal hari ini, Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan memang wujud gerakan mahu menjatuhkan kerajaan - digelar 'Langkah Dubai' - seperti dilaporkan beberapa hari lalu.

Bahkan presiden Umno itu mendakwa gerakan berkenaan bukan saja didalangi pemimpin dari parti pembangkang bahkan turut disertai individu tertentu dari blok kerajaan.

Kata Ahmad Zahid, dia menerima laporan perisikan berkaitan gerakan itu sebaik sahaja individu terbabit tiba dilokasi yang dilaporkan, serta selepas mereka selesai mengadakan pertemuan.

"Laporan-laporan dari segi perisikan memang kami perolehi seawal penerbangan mereka ke tempat itu dan laporan selepas itu kita perolehi,” katanya pada sidang media selepas menghadiri taklimat penyelarasan situasi bencana terkini di Putrajaya, hari ini.

Ditanya siapakah individu yang terlibat dalam gerakan itu berdasarkan laporan perisikan yang diperolehi, Ahmad Zahid bagaimanapun enggan mendedahkan identiti mereka.

Sebaliknya, ahli parlimen Bagan Datuk itu menasihatkan individu terbabit menunggu sehingga pilihan raya umum akan datang jika mahu membentuk kerajaan baru.

Sabtu lalu Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Ismail Yusop, mendakwa ada rancangan sulit digerakkan untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Anwar.

Ismail berkata rancangan tersebut yang digelar sebagai ‘Langkah Dubai’ timbul sewaktu percutian pemimpin PN serta ahli parlimen kerajaan di ibu kota Emiriah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini.

Dia juga mendedahkan ada tugas khusus diberikan kepada penyokong kerajaan itu mengenal pasti ahli-ahli parlimen berpotensi mengalih sokongan mereka kepada pembangkang.

PN telah menafikan bahawa wujudnya rancangan seumpama itu.