Skip to main
Logo Malaysiakini

Kesatuan desak Malaysia sekat kapal bawa minyak ke Myanmar

Artikel ini sudah 6 bulan diterbitkan

Kerajaan Malaysia digesa menyekat mana-mana kapal daripada membawa bahan api dari pelabuhan Malaysia ke Myanmar, dalam usaha melemahkan rejim junta tentera itu.

Ini susulan kecaman Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berhubung "tindakan berbarik dan kejam terhadap rakyat Myanmar" dalam ucapan di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, kata Presiden Gabungan Kesatuan Sekerja Myanmar, U Maung Maung.

Ia juga susulan larangan Malaysia terhadap semua kapal pro- Israel yang berlabuh di Malaysia, sebagai menyokong Palestin dalam isu keganasan berterusan di Gaza.

Maung berkata walaupun dia tidak mengharapkan Malaysia menggunakan kekuatan tentera terhadap junta Mynamar, namun negara ini harus menggunakan tekanan bukan ketenteraan terhadap rejim itu.

“Menyekat bahan api dari pelabuhan Malaysia ke Myanmar boleh melemahkan rejim sehingga ke tahap keruntuhan.

“Kami tidak mengharapkan sebarang campur tangan ketenteraan atau politik tetapi kami menyeru Malaysia untuk melaksanakan sekatan sedia ada dengan tegas ke atas eksport bahan api diesel dan jet untuk kegunaan ketenteraan di Myanmar.

"Anda tidak perlu menggunakan senjata anda tetapi tindakan anda akan menghancurkan rejim berkenaan," katanya kepada Malaysiakini.

Kesatuan Sekerja di Myanmar adalah sebahagian daripada Majlis Perundingan Perpaduan Kebangsaan (NUCC), sebuah kolektif yang dibentuk sebagai tindak balas terhadap rampasan kuasa pada 2021, dengan niat untuk menggulingkan junta tentera dan memulihkan demokrasi di Myanmar.

Maung berkata, campur tangan Malaysia amat penting pada masa sekarang memandangkan dilaporkan bahawa pasukan anti-junta, yang dikenali sebagai Perikatan Tiga Ikhwan dan pejuang etnik menoriti telah menguasai beberapa wilayah di Myanmar.

Dia berkata dengan mengurangkan bekalan bahan api, Malaysia boleh menghentikan serangan udara yang dilaporkan mensasarkan tempat awam seperti sekolah, gereja, tokong, hospital dan tempat menjadi tumpuan orang ramai.

“Dengan mengganggu bekalan bahan api, diesel dan bahan bakar pesawat, kita lumpuhkan tentera udara mereka, halang pengangkutan peluru dan bom, dan penempatan askar.

"Dakwaan bahawa bahan api seperti diesel adalah untuk kegunaan awam hanyalah alasan," tegasnya.

Kapal tangki minyak berlepas dari Malaysia

Data yang dikumpulkan oleh kumpulan penentang, yang dilihat oleh Malaysiakini, mendedahkan hanya 3.4 peratus daripada 607,040 gelen Diesel Berkelajuan Tinggi dan Pam Diesel diperuntukkan untuk kegunaan awam antara Julai dan Oktober, dengan majoriti digunakan oleh tentera dan tentera udara.

Dalam tiga bulan lepas, kumpulan penentang itu berkata mereka memantau 16 penghantaran kapal tangki minyak yang berlepas dari enam pelabuhan Malaysia: Terminal Bebas Pengerang, Terminal Minyak Tanjung Pelepas, Pelabuhan Klang, Johor dan Kuantan.

Kapal tangki dari Dominica, Indonesia, Vietnam, Liberia, Thailand, Singapura dan Panama dipantau ketika mereka berlabuh di terminal Yangon dan Terminal Thilawa di Myanmar.

Berdasarkan log yang dilihat oleh Malaysiakini, sebuah kapal Indonesia telah melengkapkan empat perjalanan dari Terminal Minyak Tanjung Pelepas ke Thilawa dalam tempoh tiga bulan, berulang-alik antara Myanmar, Malaysia dan Singapura.

Pada bulan September sahaja, kapal itu tiba di Thilawa dua kali, dengan Yangon sebagai pelabuhan persinggahan selanjutnya pada perjalanan pertama dan disusuli Singapura pada perjalanan kedua.

Dalam satu kenyataan awal bulan ini, NUCC mendedahkan senarai termasuk kapal Malaysia dan sekurang-kurangnya tujuh penghantaran meninggalkan Singapura antara November dan Disember. Ini menunjukkan pihak penentang sedang memantau semua penghantaran kapal tangki minyak dari rantau itu.

Selain Malaysia, Maung berkata India, Singapura, Thailand dan Indonesia juga memainkan peranan penting dalam memastikan kejayaan usaha terbaru menentang junta.

“Ini ialah negara-negara yang telah menyuarakan keperluan untuk perubahan di Burma, jadi kami merayu kepada mereka untuk menterjemahkan kata-kata mereka kepada tindakan,” katanya.

Penglibatan raksasa minyak dan gas antarabangsa

Ini bukan kali pertama kesatuan sekerja merayu kepada Malaysia untuk menghentikan bekalan bahan api pesawat ke Myanmar melalui pelabuhan Malaysia.

Pada bulan Oktober, beberapa pegawai kesatuan sekerja antarabangsa mengadakan rundingan dengan Menteri Luar, Zambry Abdul Kadir ketika itu, bagi menyokong Pergerakan Kesatuan Sekerja Myanmar dalam Gerakan Ketidaktaatan Awam (CDM) dan Kerajaan Perpaduan Nasional.

CDM ialah gerakan mogok buruh di Myanmar sejak 2021 untuk menentang rampasan kuasa manakala Kerajaan Perpaduan Nasional merujuk kepada kerajaan Myanmar dalam buangan yang dibentuk oleh ahli parlimen yang dipilih dan ahli parlimen yang digulingkan semasa rampasan kuasa.

Kumpulan yang mewakili Persekutuan Kesatuan Global (GFU) masih belum memberi maklum balas mengenai perkara itu.

Seorang wakil kepada mesyuarat itu, wakil wilayah BWI Global Union, Apolinar Tolentino, memberitahu Malaysiakini bahawa kolektif itu berharap Malaysia akan mengambil sikap tegas dalam isu itu.

November lalu, Amnesty International bersama Justice for Burma dan Burma Campaign UK mendedahkan laporan terperinci mengenai salah satu daripada apa yang disebut sebagai "operasi perniagaan paling rahsia dan strategik di Myanmar" - bekalan bahan api pesawat kepada tentera.

Laporan itu membabitkan Syarikat Petroleum Singapura milik penuh PetroChina, Rosneft, Chevron dan Thai Oil dan ExxonMobil.

Semua penghantaran berasal daripada satu daripada empat negara - Malaysia, Singapura, Thailand atau India.

Seperti data yang direkodkan oleh pihak penentang bersekutu, laporan ini juga mendedahkan bahawa bekalan untuk penerbangan awam digunakan oleh tentera dan mengesyorkan agar semua negara mengantung bekalan bahan api pesawatke Myanmar.

[Baca berita penuh]