Skip to main
Logo Malaysiakini

PM, menteri, ‘jerung’ dadah tidak lagi terlepas, kata Anwar

Artikel ini sudah 6 bulan diterbitkan

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menzahirkan penghargaan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas ketegasan dan keberanian kedua-dua badan itu dalam mengambil tindakan tanpa mengira pangkat dan kedudukan individu. 

Beliau berkata ini secara tidak langsung menunjukkan komitmen negara dalam aspek tatakelola dan usaha membanteras rasuah serta isu dadah dengan memastikan tidak ada orang kenamaan, ‘jerung’ dadah mahu pun ‘ikan bilis’, terlepas daripada penyiasatan dan tindakan pihak berkuasa. 

“Alhamdulillah kita sudah catat kesungguhan kita yang jarang dapat berlaku dalam mana-mana negara, apa lagi di negara membangun. Tindakan diambil terhadap tokoh-tokoh yang dianggap terlepas daripada apa saja bentuk penyiasatan dan tindakan.

“Kamu curi dana negara, kamu punggah kekayaan negara, sama ada kamu Perdana Menteri, Menteri Kewangan, menteri-menteri, kamu ingat.. kita terpaksa bertindak dengan tegas untuk menyelamatkan negara ini,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan sistem Pangkalan Data Utama (PADU), yakni pangkalan data sosio ekonomi negara bersepadu yang mengandungi profil individu dan isi rumah meliputi warganegara dan juga pemastautin tetap, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. 

Memberi contoh kejayaan PDRM menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah jenis syabu terbesar di Sabah baru-baru ini, Perdana Menteri menyifatkan pencapaian itu sebagai sesuatu yang perlu dibanggakan, apatah lagi ketika negara membelanjakan ratusan juta ringgit bagi membendung masalah penggunaan dadah khususnya dalam kalangan anak muda. 

Pada 26 Dis lepas, media melaporkan seorang penaung badan bukan kerajaan (NGO) berpangkat 'Datuk' antara 10 lelaki ditahan di Sabah kerana disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran dadah terbesar di negeri itu.

“Yang ditangkap juga puluhan ribu dalam kalangan penagih dan pengedar peringkat bawah dan sukar diambil tindakan terhadap pengedar-pengedar besar, tauke besar terlibat dalam dadah, maka saya salute PDRM kerana telah jelajah ke Sabah.

Gambar Hiasan

“Jadi cerita bahawa ‘jerung’ terlepas tak timbul lagi, sekarang tumpuan kita itu kepada jerung-jerung supaya anak-anak ikan (bilis) ingat,” katanya.

Mengulas tindakan kerajaan tidak membenarkan syarikat perkapalan yang berpangkalan di Israel, ZIM daripada berlabuh di pelabuhan negara, Anwar berkata walaupun tindakan itu menyebabkan sedikit kerugian, namun beliau percaya ia akan memberikan banyak ‘keberkatan’ kepada negara.

Perdana Menteri berkata langkah itu jelas menunjukkan Malaysia mempunyai keyakinan dan sifat perikemanusiaan terhadap rakyat Palestin yang ditindas Israel. 

Beliau seterusnya menzahirkan penghargaan kepada Jemaah Menteri khususnya Menteri Pengangkutan Anthony Loke kerana membangkitkan mengenai kebenaran kepada syarikat itu untuk berlabuh di Malaysia, yang diberikan Jemaah Menteri pada tahun 2002.

“Saya kata ini aneh, tidak mungkin satu negara yang merdeka, berdaulat, yang punyai perikemanusiaan, yang benci dengan kezaliman, boleh biarkan mereka berleluasa tanpa tindakan.

“Kita tidak ada kekuatan lebih daripada itu tapi sekurang-kurangnya kita ada kesungguhan dan tekad perbetulkan keterlanjuran yang berlaku dahulu,” katanya. 

 - Bernama