Skip to main
Logo Malaysiakini

SPRM siasat dakwaan rasuah dalam kempen Keluarga Malaysia

Artikel ini sudah 6 bulan diterbitkan

SPRM telah memulakan siasatan terhadap dakwaan rasuah yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut beberapa sumber, satu pasukan dihantar ke Pejabat Perdana Menteri hari ini untuk mencari dan merampas dokumen yang dipercayai dapat membantu siasatan, yang memfokuskan projek-projek tertentu ketika Ismail Sabri menjadi perdana menteri.

Bernama pula melaporkan pegawai SPRM juga ke Kementerian Kewangan bagi mendapatkan bahan bukti hari ini.

Seorang sumber berjawatan tinggi mendakwa terdapat dakwaan rasuah dalam kontrak berkaitan kegiatan promosi konsep "Keluarga Malaysia" yang diperkenalkan Ismail pada Ogos 2021.

"Salah seorang yang disiasat adalah bekas perdana menteri era 'Keluarga Malaysia', Ismail Sabri," kata sumber itu yang ada pengetahuan berkenaan kes itu.

"Siasatan berkaitan dakwaan rasuah dalam penganugerahan kontrak untuk papan iklan 'Keluarga Malaysia' dan bahan kempen yang lain," katanya lagi.

Pasukan penyiasat masih dalam proses mengenal pasti jumlah sebenar yang terlibat, namun sumber mendakwa kontrak tersebut dipercayai bernilai lebih RM300 juta.

Malaysiakini telah menghubungi Ismail Sabri untuk mendapatkan respons berkenaan perkara ini.

Selain ahli parlimen Bera itu, beberapa bekas pegawainya turut disiasat, termasuk seorang pembantu Ismail yang dilantik secara politik ke jawatan kanan di Pejabat Perdana Menteri pada masa itu.

SPRM dijangka memanggil Ismail dan beberapa bekas pegawainya tak lama lagi.

"Kami rancang untuk panggil mereka secepat mungkin (untuk rakam keterangan). Dia (Ismail) sedang menunaikan umrah, jadi (akan dipanggil) selepas pulang ke Malaysia," kata seorang sumber.

Siasatan dibuat di bawah Akta SPRM 2009.

Azam Baki

Ketika dihubungi, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengesahkan suruhanjaya itu sedang menyiasat seorang bekas perdana menteri dan beberapa bekas pegawai atas dakwaan rasuah, namun enggan mengulasnya dengan lebih lanjut.

Semalam, laporan Utusan Malaysia menyatakan SPRM dijangka memanggil seorang bekas pemimpin tinggi kerajaan dan seorang bekas setiausaha sulit untuk soal siasat pada minggu depan.

Sumber yang dipetik laporan itu mendakwa dua individu itu disiasat atas dakwaan menyelewengkan jutaan ringgit dana kerajaan.

Berita berkenaan siasatan itu dilaporkan empat hari selepas Menteri Komunikasi merangkap jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil berkata rakyat berhak tahu berkenaan perbelanjaan RM700 juta bagi tujuan pengiklanan dan publisiti oleh dua pentadbiran terdahulu.

Pada November lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mendedahkan sebanyak RM700 juta dibelanjakan antara 2020 dan 2022 untuk menunjukkan pencapaian kerajaan.

ketika itu, Anwar memberitahu Dewan Rakyat bahawa sebanyak RM500 juta dibelanjakan ketika pentadbiran Muhyiddin Yassin sejak 2020 hingga 2021, manakala RM200 juta lagi ketika pentadbiran Ismail Sabri (2021 hingga 2022).

[Baca berita asal]