Skip to main
Logo Malaysiakini

Rafizi: Akaun Padu tak boleh didaftar oleh pihak lain

Artikel ini sudah 6 bulan diterbitkan

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata akaun Pusat Pangkalan Data Utama (Padu) tidak boleh didaftarkan oleh mana-mana pihak menggunakan maklumat peribadi orang lain.

Ia selepas bekas ahli parlimen Bangi Ong Kian Mong menggesa orang ramai untuk segera mendaftar akaun mereka, atas kebimbangan berlakunya kecurian identiti.

Ini kerana input untuk nombor telefon, MyKad, emel dan kata laluan dibuat sebelum pengguna disahkan menerusi proses pengesahan e-KYC (Electronic Know-Your-Customer).

Bagi membuktikannya, Ong mendaftarkan akaun untuk Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching dan Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong.

Menjawab perkara itu di X, Rafizi berkata pendaftaran akaun di Padu tidak lengkap sehingga proses e-KYC selesai.

“Sehingga e-KYC selesai, pendaftaran tidak selesai dan tidak sah,” katanya.

Proses e-KYC memerlukan pengguna untuk mengambil gambar Mykad dan swafoto bagi mengesahkan identiti mereka.

Menurut Rafizi, e-KYC dibuat akhir sekali bagi memudahkan pendaftaran memandangkan proses itu mungkin perlu dibuat beberapa kali.

Katanya lagi, jika berlaku kecurian identiti, pengguna boleh menghubungi Padu secara dalam talian, telefon atau kaunter kerajaan yang berkenaan.

Malaysiakini difahamkan meja bantu (help desk) Padu kemudian akan membantu membuka mana-mana akaun yang telah ditetapkan kata laluan oleh pihak ketiga.

Pendaftaran pantas

Dalam pada itu, Rafizi turut menafikan proses pengesahan e-KYC akan mengambil masa tiga hari.

Katanya, walaupun piawaian industri untuk proses ini menyebut tiga hari, setakat ini proses pengesahan untuk Padu hanya mengambil masa lima minit.

Dia juga berkata masalah kelambatan one-time password (OTP) yang dialami pengguna Celcom telah diselesaikan pada kira-kira jam 3.30 petang tadi.


Baca: Bagaimana mendaftar di Padu dan maklumat diperlukan


Kerajaan menyifatkan Padu sebagai langkah menambah baik pengagihan bantuan dan subsidi bagi memastikan hanya mereka yang layak akan mendapatnya.

Berkenaan Padu tidak memaparkan maklumat penuh daripada semua data kerajaan walau dianggap penghubung pangkalan data agensi-agensi, dia menyifatkan ia adalah ciri keselamatan.

"Maklumat penuh dari semua data kerajaan tidak dipaparkan sepenuhnya kepada pengguna (terutama maklumat sensitif seperti pendapatan, KWSP dan lain-lain).

"Maklumat sepenuhnya dipegang di server yang berlainan dan hanya kiub data tertentu (untuk membolehkan pengguna mengemas kini data) dilepaskan ke server interface. Ini bertujuan mengurangkan risiko pencerobohan ke server Padu," katanya.

Katanya lagi, maklumat yang dimasukkan pengguna akan diintegrasi dengan pelayan (server) utama Padu, di mana maklumat itu akan disemak, disahkan dan dikemas kini.