Skip to main
Logo Malaysiakini

Johor lancar program Semarak Subuh mulai Jumaat ini

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Kerajaan Johor akan melancarkan program Semarak Subuh di setiap masjid dan surau bermula Jumaat ini.

Pengerusi jawatankuasa hal ehwal Islam negeri itu, Mohd Fared Mohd Khalid, berkata inisiatif berkenaan melibatkan 838 masjid dan 1,942 surau di seluruh Johor dan berlanjutan sepanjang tahun ini.

"Program itu juga akan diziarahi oleh ahli dewan undangan negeri (atau wakilnya bagi yang bukan beragama Islam) bersama-sama kepimpinan tertinggi kerajaan Johor mengikut lokaliti dan zon masing-masing.

"Ia termasuklah pentadbiran kerajaan negeri di peringkat daerah dan juga mukim," katanya menerusi satu hantaran di Facebook rasminya hari ini.

Mohd Fared turut menyeru kepada seluruh Bangsa Johor yang beragama Islam agar hadir beramai-ramai untuk sama-sama mengimarahkan masjid dan surau dengan pelbagai aktiviti kerohanian, selain program berkenaan.

Program Semarak Subuh merupakan inisiatif Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi yang menyasarkan pelaksanaannya di 56 kawasan Dewan Undangan Negeri Johor dengan peruntukan berjumlah RM560,000.

- Bernama