Skip to main
Logo Malaysiakini

Kerajaan memang berhasrat rombak J-Kom, kata Fahmi

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Kerajaan memang bercadang untuk merombak semula fungsi Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) dan idea berkenaan sudah difikirkan sebelum ini.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil bagaimanapun berkata masih terlalu awal untuk pihaknya mendedahkan lebih banyak butiran lanjut mengenai rancangan yang dibuat.

Keyataan jurucakap kerajaan itu hadir beberapa jam selepas seorang pemimpin Umno mencadangkan agar agensi berkenaan - yang dulu diletakkan di bawah penyeliaan Pejabat Perdana Menteri - dirombak.

Gesaan itu dibuat ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Mohd Puad Zarkashi.

Kata Fahmi beberapa penyelarasan akan dibuat apabila rombakan tersebut dilaksanakan nanti.

“Sebelum isu ini berbangkit pun, memang saya ada hasrat untuk meneliti semula fungsi J-Kom," katanya pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat kabinet di Putrajaya hari ini.

Kata Fahmi memang kerajaan mendapati perlu ada penyesuaian ke atas beberapa fungsi dan tugas pelbagai agensi termasuk J-Kom agar selaras dengan hasrat kerajaan Madani.

Pagi tadi Mohd Puad menggesa rombakan menyeluruh dibuat ke atas J-Kom ekoran langkah diambil agensi terbabit mendedahkan perancangan 'Langkah Dubai' sehingga menyebabkan kerajaan terpaksa mengambil sikap defensif.

Dia turut turut mempersoalkan motif Timbalan Ketua Pengarah J-Kom, Ismail Yusop, yang menimbulkan isu berkenaan kerana disifatkan sebagai “analisis cetek”.

Mohd Puad juga menganggap imej J-Kom kian merudum selepas timbul isu kontroversi membabitkan bekas ketua pengarahnya, Mohammad Agus Yusof dan kakitangan agensi terbabit, Abdul Wahab Abd Kader Jailani, beberapa bulan lalu.

Dia berpendapat amat wajar J-Kom menjalani proses penjenamaan semula selain dipimpin oleh individu yang lebih kompeten.

Sementara itu Fahmi turut mengulas lanjut berkaitan isu proses pendaftaran Pusat Pangkalan Data Utama (Padu), dengan mengatakan bahawa keselamatan siber menjadi keutamaan utama kerajaan.

Katanya, pihak Cybersecurity Malaysia telah terlibat lebih awal dalam projek berkenaan, iaitu sebelum pelancarannya dan sedang mengadakan perbincangan dengan Agensi Keselamatan Siber Kebangsaan (Nacsa), Jabatan Statistik Malaysia (DOSM), dan lain-lain.

Dia juga menasihatkan pengguna yang mengesan sebarang perkembangan yang mencurigakan dalam sistem Padu agar membuat aduan melalui Kementerian Ekonomi ataupun membuat laporan polis.