Skip to main
Logo Malaysiakini

Pendaftaran Padu tidak terlalu mesra pengguna - Adun

Artikel ini sudah 6 bulan diterbitkan

Sejak pandemik Covid-19 kerajaan telah bergerak ke arah pendigitalan perhidmatannya.

Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim melancarkan Hab Pangkalan Data Pusat (Padu) bertujuan mengekang kebocoran dalam pemberian subsidi dan bantuan kerajaan.

Pun begitu, sesetengah rakyat Malaysia masih ketinggalan, terutamanya warga emas lantas menciptakan jurang kepenggunaan digital.

"Baru pagi ini sahaja, kami mungkin ada 10 ke 15 orang yang datang ke pejabat khusus untuk Padu saja," kata Adun Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze (gambar, bawah) kepada Malaysiakini, sambil menjelaskan kebanyakannya warga emas.

“Oleh kerana hari ini adalah hari bekerja, kami malangnya tidak nampak golongan miskin atau miskin tegar datang untuk tujuan tersebut, tetapi saya tertanya-tanya sama ada maklumat untuk mengemas kini data peribadi telah sampai kepada kumpulan sasaran atau tidak,” tambahnya.

Sistem pendaftaran Padu kini sepenuhnya dalam bahasa Melayu dan memerlukan pengguna mengisi senarai lengkap dengan maklumat yang diperlukan mulai dari butiran isi rumah, alamat, butiran pekerjaan, jarak dari rumah ke tempat kerja, komitmen bulanan, pendapatan dan sumber pendapatan lain serta bantuan yang sudah diterima.

Rakan ahli parti Ng daripada DAP, Adun Skudai Marina Ibrahim (gambar bawah) juga berdepan masalah yang sama di kawasan yang diwakilinya di Johor.

“Ramai yang datang warga emas, tidak berpendidikan dan etnik Cina.

“Kebanyakan masalah yang dihadapi warga emas adalah dalam pengendalian teknologi. Tidak semua orang tahu cara mengimbas kod QR untuk pengesahan,” katanya.

Setakat ini, lebih 10 penduduk telah mendapatkan bantuan dari pejabatnya.

Marina berkata kebanyakan pengundinya yang tinggal di Skudai terdiri daripada sama ada warga emas atau miskin bandar, terutama di kawasan Taman Ungku Tun Aminah.

Dia telah memberi penjelasan kepada penduduk, meminta mereka yang mengalami kesukaran pendaftaran Padu untuk mendapatkan bantuan dari pejabatnya.

Adun Kota Damansara Muhammad Izuan Ahmad Kasim (gambar atas) pula memberitahu masih belum ada mana-mana pengundi datang mendapatkan bantuan ke pejabatnya untuk mendaftar di Padu.

Bagaimanapun, dia percaya pendaftaran pangkalan data sememangnya menjadi masalah bagi mereka yang berumur 60 tahun ke atas.

"Mereka tidak biasa dengan teknologi," kata pemimpin Pemuda PKR Selangor itu ketika dihubungi Malaysiakini.

Dalam pada itu, ketiga-tiga Adun ini bersetuju langkah proaktif perlu diambil bagi membantu mereka yang memerlukan bantuan untuk mendaftar di Padu.

Marina berkata, pejabatnya sedang dalam proses melancarkan lebih banyak kaunter bergerak bagi tujuan menerangkan cara pendaftaran Padu kepada penduduk di kawasannya.

“Dalam pengalaman lepas kami dengan MySalam, Peka B40, kad penjagaan kesihatan Madani atau Bantuan Tunai Rahmah (STR), masih ramai di lapangan yang tidak tahu dan tidak sedar tentang inisiatif yang dilaksanakan kerajaan,” katanya.

Izuan pula menggunakan contoh bancian pada masa lalu dan penggunaan sukarelawan untuk pergi dari rumah ke rumah secara fizikal.

Begitu juga, Ng mengesyorkan agar kerajaan memikirkan mekanisme perantara untuk mendekati isi rumah yang terancam ketinggalan oleh jurang digital, sesuatu yang serupa dengan apa yang dilakukan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.

Bancian dilakukan dengan melawat komuniti dan bekerjasama dengan agensi tempatan untuk mencari penduduk yang berdepan kesukaran kepenggunaan digital, jelasnya.

Ng berkata daya tahan rakyat di kawasannya terhadap pendigitalan semakin meningkat secara beransur-ansur, kerana ramai yang telah membiasakan diri dengan idea itu sejak pelaksanaan aplikasi MySejahtera apabila perintah berkurung Covid-19 mula reda.

[Baca berita asal]